syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengacara dan pereka fesyen Indonesia, Ivan Gunawan meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa masyarakat negara itu atas usahanya dan pasukan merealisasikan projek mengubahsuai 99 Masjid Asmaul Husna.
Ivan, 45, ketika dihubungi turut mengucapkan terima kasih atas kesungguhan masyarakat yang sudi menyumbang dana dalam projek itu yang akan dilakukan di seluruh Indonesia ini.
“Rupa-rupanya di Indonesia, golongan jemaah atau masyarakat yang berhasrat untuk memiliki dan menginfakkan masjid adalah tersangat ramai dan besar jumlahnya.
“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan jemaah yang hadir di Amazing Muharram 15, yang mana urusan sumbangan terus dimuktamadkan pada hari itu juga,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai idea asal projek 99 Masjid Asmaul Husna itu, pengacara program Brownis itu berkongsi mengenai kerjasama bersama Cinta Quran Foundation dan Masjid Nusantara.
“Sebenarnya, idea awal pembangunan 99 Masjid Asmaul Husna ini cetusan idea dan gagasan daripada Ustaz Fatih Karim. Beliau bersama-sama dengan Cinta Quran Foundation kemudiannya berkolaborasi dengan Masjid Nusantara.
“Sebelum ini, kami pernah membina beberapa buah masjid di luar negara, antaranya di Yokohama, Jepun; Toronto, Kanada dan Australia. Oleh itu, kini sudah tiba masanya untuk kami kembali fokus di Indonesia,” katanya.
Berkongsi mengenai kos, Ivan berkata, anggaran bagi ubah suai sesebuah masjid sekitar 400 juta rupiah (RM90,400) dan pihaknya menyasarkan masa selama setahun untuk menyiapkan kesemua 99 masjid.
“Bagi kos sebuah masjid, kami tidak membinanya dari awal atau bermula dari tanah kosong, sebaliknya kami melakukan kerja-kerja pengubahsuaian (renovasi). Jadi, anggaran kos bagi sebuah masjid adalah sekitar 400 juta rupiah.
“Kami menyasarkan projek kesemua 99 buah masjid ini dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh masa satu tahun,” katanya.
Projek 99 Masjid Asmaul Husna dilancarkan pada 12 Julai lalu pada acara Amazing Muharram 15. Ia adalah acara tahunan berbentuk keagamaan dan perkongsian ilmu yang berlangsung selama sehari.
Pada hari pertama pelancaran, seramai 65 jemaah tampil untuk mewakafkan dana bagi pembangunan masjid-masjid yang dipilih ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



