Rakyat tolak retorik kosong

Rakyat tolak retorik kosong

POLITIK yang terlalu lama berlegar pada serangan, tuduhan dan permainan emosi akhirnya berdepan titik tepu apabila rakyat semakin matang menilai. Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 menjadi bukti rakyat kini lebih mengutamakan kestabilan, keberhasilan pentadbiran dan penyelesaian terhadap masalah berbanding politik berasaskan kebencian.

Bagi Ketua Menteri Melaka, DATUK SERI AB. RAUF YUSOH, rakyat tidak lagi mudah terpengaruh dengan retorik kosong yang hanya mencetuskan perpecahan tanpa menawarkan jalan penyelesaian.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AZNAN BAKAR, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan AMRAN MULUP, Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, perubahan landskap politik memberi isyarat masa depan sesebuah pentadbiran bergantung kepada keupayaan pemimpin membina keyakinan rakyat, bukan menanam permusuhan.

Dalam temu bual yang turut disertai jurufoto ISKANDAR ISHAK serta juruvideo MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN dan MUHAMMAD FARIS MD. IDERIS, beliau memberitahu pendekatan yang mengutamakan kedekatan dengan rakyat merupakan asas penting untuk memastikan kerajaan negeri terus mendapat kepercayaan serta sokongan masyarakat.


UTUSAN: Selepas lebih tiga tahun menerajui Melaka, apakah perubahan dan penambahbaikan yang dilaksanakan Datuk Seri?

AB. RAUF : Untuk tempoh perkhidmatan tiga tahun tiga bulan 13 hari (ketika temu bual), saya menambah baik dasar sedia ada yang diwarisi daripada pemimpin terdahulu serta memperkenalkan idea baharu bagi memastikan Melaka terus dinamik. Mana mungkin saya berada di sini jika pemimpin sebelumnya tidak membina ‘jambatan’ untuk saya melangkah.

Dalam sektor pelancongan, Melaka perlu mempunyai tarikan baharu yang mampu menarik lebih ramai pengunjung. Sebab itu, laluan sekitar Bangunan Merah atau Stadthuys ditutup pada hujung minggu bagi memberi ruang kepada pelancong menikmati kawasan warisan dunia UNESCO tanpa gangguan lalu lintas. Hasilnya, kawasan tersebut kembali menjadi tumpuan dan menghidupkan ekosistem pelancongan setempat.

Kita turut memperkenalkan program Melaka Bila Larut Malam yang menawarkan kemasukan ke lokasi pelancongan pada kadar RM10 serta pelbagai inisiatif percuma bagi menggalakkan orang ramai berkunjung ke Melaka.

Setahun sekali, lokasi rekreasi seperti zoo, pelayaran sungai dan tarikan lain dibuka secara percuma termasuk kemudahan parkir. Inisiatif ini bertujuan mengingatkan bahawa segala-galanya bermula di bumi Melaka.

Atas dasar itu, 20 Februari dijadikan cuti umum negeri sempena ulang tahun laungan pertama kemerdekaan Tanah Melayu di Melaka pada 20 Februari 1956. Pada hari tersebut, orang ramai dijemput hadir menikmati pelbagai kemudahan secara percuma.

Usaha ini turut memberi manfaat kepada sektor makanan, perhotelan, inap desa dan ekonomi berkaitan. Apabila Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025, kita berjaya menarik perhatian pemimpin industri pelancongan dunia melalui keunikan budaya, seni dan warisan negeri ini.

Selain mempunyai 21 muzium, kita juga berjaya membawa pulang manuskrip berkaitan sejarah Panglima Awang atau Henry the Black yang dikaitkan dengan ekspedisi mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan. Sejarah ini sebelum ini kurang diketengahkan kerana manuskrip tersebut tersimpan di Sepanyol tetapi kini berjaya dibawa pulang ke Melaka.

 

Bagaimana sektor pelancongan membantu pengusaha kecil dan sederhana?

Kita mereka cipta semula perkara yang ada di Melaka dengan menambah nilai supaya menghasilkan sesuatu lebih baik untuk negeri ini.

Melaka tidak mempunyai banyak halangan kerana rakyat menerima pelancongan sebagai asas ekonomi. Semua pihak di kawasan tumpuan pelancong memberikan kerjasama. Perkembangan sektor ini turut meningkatkan pendapatan pengusaha kecil, termasuk penarik beca yang kini memperoleh pendapatan lebih baik.

Kita juga memperkenalkan inisiatif pemakaian pakaian tradisional sebulan sekali. Mereka yang memakai kebaya, baju Baba Nyonya atau pakaian tradisional lain boleh menikmati kemudahan pelancongan dengan kadar RM10. Secara tidak langsung, pengusaha sewaan pakaian tradisional turut menerima limpahan ekonomi daripada idea yang diperkenalkan kerajaan negeri.

 

Bagaimana mengatasi cabaran pemulihan ekonomi pelancongan selepas pandemik Covid-19 ketika mula mengambil alih pentadbiran Melaka?

Melaka tidak mempunyai banyak halangan kerana 70 peratus pelancong terdiri daripada pelancong domestik. Selain itu, ramai pelancong antarabangsa yang datang adalah dari China, bukan Eropah atau Asia Barat.

Tarikan utama pelancong China ke Melaka kerana faktor sejarah. Dalam catatan Laksamana Cheng Ho, beliau menyebut sebanyak lima kali mengenai kedatangannya ke Melaka, menyebabkan ramai masyarakat China ingin melihat sendiri keistimewaan negeri ini.

Sejarah Melaka juga dipelajari dalam sistem pendidikan China, menyebabkan berbilion rakyat China mengenali Melaka.

Pada masa akan datang, pelancongan akan terus menjadi sumber ekonomi utama kerana negeri ini tidak bergantung kepada sumber bumi.

Tarikan seperti makanan tempatan, asam pedas, ikan bakar dan nasi lemak, selain nilai sejarah serta budaya, menjadi faktor yang menarik pengunjung datang ke Melaka. Melalui kreativiti dalam sektor ini, rakyat dapat memanfaatkan perkembangan pelancongan untuk mengukuhkan keseluruhan ekosistem ekonomi negeri.

 

Secara ringkas tentang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR)?

Asas kepada program WRUR bermula daripada konsep Hari Bertemu Pelanggan. Apabila membuka kaunter aduan di seluruh negeri dan menjemput rakyat menyampaikan masalah, saya melihat kita tidak seharusnya menyusahkan rakyat.

Melalui program ini, kita turun ke kawasan wakil rakyat bersama agensi kerajaan negeri serta persatuan bagi menyelesaikan isu semasa yang dihadapi rakyat, termasuk urusan tanah, cukai dan infrastruktur yang sebelum ini memerlukan mereka hadir ke pejabat daerah. Bagi warga kampung yang berusia, perkara itu menjadi kesukaran.

Pendekatan kita bukan rakyat mencari kita tetapi kita mencari rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. Sebab itu prinsip saya, sesiapa yang mahu menjadi wakil rakyat perlu memahami kehidupan dan denyut nadi rakyat terlebih dahulu.
Alhamdulillah, sepanjang tiga tahun ini, semua wakil rakyat memainkan peranan dalam menguruskan permasalahan rakyat.

Daripada program tersebut, kita mewujudkan platform Hari Exco Bertemu Rakyat. Setiap 45 hari, kaunter dibuka untuk rakyat membuat susulan terhadap aduan yang dibangkitkan bagi memastikan tindakan benar-benar dilaksanakan.

Melalui program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), saya turun bertemu golongan sakit, mereka yang memerlukan bantuan, rumah yang tidak terurus, sekolah tahfiz serta sekolah yang memerlukan perhatian.

Konsep ini membina hubungan lebih dekat antara rakyat dan pemimpin tanpa halangan protokol. Kita bertanya kepada rakyat, “Apakah masalah anda?” Ini kerana masalah rakyat ialah tanggungjawab kita untuk diselesaikan.

 

Adakah program sebegini bertujuan mengekalkan populariti kerajaan negeri?

Itu adalah tanggungjawab yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu. Program ini bukan dimulakan ketika musim pilihan raya, sebaliknya telah berjalan lebih awal dan kini mencapai Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-22, dengan kira-kira enam DUN lagi perlu diselesaikan.

Sejak mengambil alih pentadbiran negeri, saya menegaskan kita perlu menjadi rakyat untuk rakyat. Kedudukan ini bukan untuk bermegah tetapi untuk turun bersama rakyat, memahami masalah mereka dan memastikan mereka mendapat perhatian daripada kerajaan.

Semua wakil rakyat mesti turun ke kawasan masing-masing. Saya sendiri turun ke setiap DUN sejak dua tahun lalu bagi mencari penyelesaian terhadap isu rakyat.

Melalui program WRUR, semua agensi kerajaan digerakkan mengikut keperluan kawasan, sama ada melibatkan pertanian, kebajikan, pendidikan, agama atau komunikasi digital. Program ini bukan hanya untuk musim pilihan raya tetapi sebagai pendekatan berterusan bersama rakyat.

Setiap DUN mempunyai keperluan tersendiri, termasuk isu jalan kampung, lampu jalan, jambatan, tanah, kemudahan kesihatan dan pelbagai lagi. Semua pandangan, cadangan serta kritikan rakyat didengar dan jadikan asas dalam membentuk dasar.

Apa pendekatan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah banjir?

Banjir ialah bencana alam yang berlaku di luar jangkaan dengan kesan berbeza, sama ada pada tahap rendah, sederhana atau tinggi.

Setiap kali berlaku banjir, kita akan merancang kaedah terbaik untuk menyelaras langkah penyelesaian. Masalah banjir ini merupakan perkara yang diwarisi dan berkait dengan perancangan terdahulu, khususnya dalam mengurus sistem saliran serta aliran air di sesuatu kawasan.

Sekiranya perancangan dibuat lebih teratur sejak awal, kesan banjir dapat diminimumkan. Contohnya, kejadian di Tanjung Minyak Utama sebahagiannya berpunca daripada aliran air dari kawasan perindustrian di atas bukit yang mengalir ke kawasan rendah.

Selain itu, terdapat sungai yang dahulunya lebih besar tetapi semakin mengecil akibat hakisan dan isu alam sekitar. Bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kita menerima peruntukan besar untuk menangani masalah banjir ini.

Pelaksanaan penyelesaian masih berdepan cabaran apabila jumlah hujan melebihi kadar biasa sehingga keadaan sukar dikawal.

Tanggungjawab saya memastikan penyelesaian terbaik dicari bagi mengurangkan kesan banjir.

Cabaran terbesar sebagai Ketua Menteri?

Saya suka mencari cabaran, antaranya memperkenalkan Kampung Digital.

Kampung Digital ialah kaedah pengurusan masyarakat yang lebih tersusun. Selama ini, sebanyak 616 kampung di Melaka masih menggunakan alamat berdasarkan batu yang dikongsi ramai penduduk, menyebabkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kurang tepat.

Cabaran utama ialah mengubah kebiasaan masyarakat. Apabila dunia sudah berubah menyebabkan kerajaan juga perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan digital.

Melalui sistem ini, setiap jalan dinamakan, rumah diberikan nombor dan lokasi dikenal pasti dengan tepat melalui kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta pejabat tanah. Kod QR alamat digital pula memudahkan urusan kecemasan seperti polis, bomba dan ambulans, selain melancarkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Setiap isi rumah akan diberi e-mel melaka.my bagi memudahkan komunikasi antara rakyat, sekolah dan kerajaan.

Saya berharap rakyat melihat usaha ini sebagai langkah untuk kepentingan mereka. Pada usia 65 tahun, saya hanya menggunakan pengalaman yang ada untuk membina ‘jambatan’ kepada generasi akan datang.

Masa depan ialah dunia digital. Jika kita tidak berubah, kita akan ketinggalan. Dasar ini bukan hanya untuk hari ini tetapi untuk generasi yang akan datang.


Tiada tempat untuk politik kebencian, isu Najib makan diri

Faktor BN menang 48 kerusi di PRN Johor?

Walaupun terdapat serangan daripada pihak lawan melalui pelbagai medium yang bertujuan merendahkan, menghasut dan memainkan politik kebencian, namun masyarakat Johor lebih matang. Mereka lebih mahu melihat keberhasilan pentadbiran diterajui Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mampu membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada rakyat negeri itu.

Masyarakat melihat Johor sebagai tiang seri UMNO, iaitu tempat kelahiran parti tersebut. Apabila sambutan ulang tahun UMNO diberikan ruang yang luas di Istana Johor, ia menunjukkan kedudukan Johor sebagai asas penting yang perlu dikembalikan peranannya kepada masyarakat, bukan sahaja di negeri itu tetapi juga di seluruh negara sekiranya wujud usaha membawa UMNO kembali ke persada pentadbiran.

 

Isu Datuk Seri Najib Tun Razak dan skandal 1MDB dimainkan semula di Johor?

Mereka memulakan satu langkah yang silap dalam menaikkan isu Najib semula. Najib sedang menjalankan hukuman mengikut aturan perundangan. Politik kebencian ini menyebabkan rakyat tidak memilih parti tertentu untuk menerajui Johor.

Adakah momentum kemenangan ini mampu dibawa ke Melaka?

Politik ialah seni seribu satu kemungkinan. Mereka yang dahulunya tidak menyokong kita boleh menjadi penyokong, manakala rakan pula boleh bertukar menjadi lawan.

Segala kemungkinan ini akhirnya membawa kepada satu keputusan hasil daripada kesepakatan. Rakyat kini semakin matang dengan kewujudan media sosial yang mampu menyampaikan maklumat dengan lebih tersusun, namun masih terdapat kandungan berunsur fitnah dan kebencian.

Saya melihat generasi muda tidak lagi mahu politik sebegini kerana isu di media sosial lazimnya hanya bertahan dua minggu sebelum digantikan isu baharu. Apabila isu Najib dibangkitkan semula, saya melihat langkah tersebut tersasar dan tidak mendapat penerimaan baik daripada rakyat.

Rakyat kini berdepan cabaran ekonomi yang memerlukan pembaharuan. Mereka mahu wakil rakyat yang memahami kehidupan dan masalah sebenar mereka.

Jika kekuatan ini terus berkembang, tidak mustahil semangat tersebut akan menular ke negeri lain. UMNO-BN mempunyai struktur organisasi yang tersusun dan pengalaman akar umbi boleh dimanfaatkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

 

Ada yang mempertikai tindakan Pas membantu UMNO-BN menang?

Apabila Pas membuat pendirian supaya rakyat mengundi kerajaan sedia ada dan tidak mengundi parti lawan, saya percaya sokongan Pas turut memainkan peranan dalam kemenangan besar ini.

Setiap parti mempunyai kekuatan tersendiri. Kekuatan itulah yang mungkin diterjemahkan kepada sokongan rakyat. Apabila Pas akhirnya memberikan sokongan kepada BN, itu juga merupakan sebahagian daripada seribu satu kemungkinan dalam politik.

 

Adakah UMNO-BN bergerak solo di Melaka?

Setiap keputusan tidak boleh dibuat atas dasar kesombongan, sebaliknya perlu berlandaskan integriti, kemampuan dan kebijaksanaan.

Saya mentadbir Melaka dalam sebuah kerajaan berteraskan perpaduan. Kita turut memberi ruang kepada parti yang sebelum ini tidak bersama kita untuk bekerjasama dalam pentadbiran dan akhirnya kerajaan dapat berjalan dengan baik.

Apa yang berlaku di Johor menunjukkan rakyat tidak lagi memilih politik kebencian, sebaliknya mahukan kehidupan yang lebih baik.

Mengenai soal bergerak solo, saya akan menjawab apabila tiba masanya. Seperti kata orang kampung, buah yang masak akan gugur sendiri, jangan dipetik ketika masih muda.

 

Adakah Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem dilihat sebagai pemimpin masa depan UMNO dan BN?

Mereka sedang belajar, menimba ilmu dan membentuk diri untuk menjadi pemimpin yang lebih baik. Seseorang tidak boleh terus menjadi pemimpin hebat tanpa melalui proses pengalaman.

Mungkin Muhamad Akmal dengan semangat kemelayuannya, manakala Mohd. Noor Helmy pula dengan pendekatan dan kekuatannya dalam mendekati rakyat.

Muhamad Akmal berusia 35 tahun masih mempunyai tempoh panjang untuk membina pengalaman, menghadapi cabaran dan mematangkan diri sebelum mencapai usia saya. Proses itu akan membentuk mereka menjadi pemimpin yang lebih baik.

 

Bagaimana hubungan dengan kerajaan Persekutuan?

Setakat ini, hubungan dengan kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan baik. Sokongan diberikan melalui pelbagai projek dan tiada sebab untuk berkonflik kerana akhirnya rakyat yang akan menerima kesannya.

Menteri-menteri daripada UMNO mempunyai pengalaman serta kemampuan yang boleh membantu kerajaan negeri, manakala pelaksanaannya bergantung kepada masa dan keadaan.

Seperti yang disarankan presiden, tiada pertukaran kerajaan sehingga pilihan raya akan datang. Selagi kita mempunyai hala tuju yang sama, kita teruskan kerjasama.

Jika suatu hari nanti tiada lagi persefahaman, barulah setiap pihak menentukan haluan masing-masing. -UTUSAN

 

Scroll to Top