LEBUHRAYA Pantai Timur kembali menjadi pentas duka, dengan serpihan motosikal bertebaran dan tubuh manusia bergelimpangan. Insiden yang memecah kesunyian kira-kira jam 1 pagi, Sabtu lalu, menyebabkan tiga nyawa melayang di tempat kejadian, seorang lagi meninggal dunia di hospital, manakala 13 yang lain mengalami pelbagai kecederaan.
Ketika berita nahas itu memenuhi ruang maya dan dada akhbar, hingar bingar perdebatan mengenai kecuaian serta cara tunggangan terus memuncak, sementara jaguh alam siber ligat menuding jari mencari siapa yang harus dipersalahkan. Setiap tindakan berbahaya yang mempertaruhkan nyawa pengguna jalan raya sememangnya perlu diadili menurut lunas undang-undang dan PERKESO sama sekali tidak pernah menafikan prinsip berkenaan.
Namun, di sebalik keriuhan orang ramai menghakimi kejadian itu, tersimpan hakikat pahit yang sering luput daripada perhatian. Pemergian empat mangsa menyebabkan lapan anak, masing-masing berusia antara satu hingga 13 tahun, menjadi yatim dalam sekelip mata, manakala beban tanggungjawab keluarga kini berpindah ke bahu isteri yang terpaksa menempuh pahit maung kehidupan sebagai ibu tunggal tanpa pernah memilih nasib sedemikian.
Selain hutang kasih yang tidak mungkin mampu dilunaskan, anak-anak yatim ini masih perlu dibesarkan dengan segala keperluan asasi kehidupan. Ada susu yang perlu dibeli, sewa rumah yang mesti dilangsaikan, yuran tadika untuk dibayar, pakaian diganti mengikut usia dan paling utama, sajian berzat di meja makan agar mereka dapat membesar dengan sihat serta sempurna.
Pada tahun-tahun mendatang, apabila telapak kaki kecil ini mula melangkah ke alam remaja dan dewasa, perjalanan pendidikan pula menuntut belanja yang kian menggunung, sedangkan tulang empat kerat yang selama ini mencari rezeki untuk mereka sudah pergi buat selama-lamanya. Di sinilah cerminan sebenar perlindungan keselamatan sosial yang tahap literasinya dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga kini masih membimbangkan.
Jaringan perlindungan yang dibina untuk menampan risiko luar jangka ini bukan hadiah buat manusia apabila rebah dalam kehidupan, bukan juga sekadar wang selepas kematian, rawatan selepas kecederaan atau pencen apabila upaya mencari rezeki sudah terjejas.
Sebaliknya, perlindungan sosial dibina atas semangat kebersamaan menerusi analogi yang cukup mudah: “Yang sihat membantu yang sakit, yang hidup membantu insan yang berdepan kehilangan, manakala yang masih mampu berdiri dengan kedua-dua kaki membantu mereka yang kehilangan anggota dan upaya.”
Inilah ikrar sebuah masyarakat bahawa apabila bumbung kehidupan seseorang hampir ranap dibadai musibah, seisi keluarga, termasuk anak yang mencari tempat berteduh, tidak akan dibiarkan melarat sehingga terjerumus ke kancah kemiskinan.
Bagi waris tiga Allahyarham ini, makna jaringan perlindungan sosial kini diterjemahkan melalui Pencen Bulanan yang disalurkan secara berkala berdasarkan hasil caruman masing-masing. Keluarga Allahyarham Che Mohd Suffian Che Gani layak menerima RM2,207.63 sebulan, diikuti waris Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan (RM1,258.33 sebulan) dan keluarga Allahyarham Mohd Aizat Husni (RM708.33 sebulan).
Mengikut syer, balu ketiga-tiga Allahyarham bakal menerima faedah pencen sepanjang hayat, dengan kadar bulanan masing-masing RM1,325; RM755 dan RM425. Andai dihitung bagi tempoh 30 tahun, nilai manfaat berkenaan masing-masing menjangkau RM477,000; RM271,800 dan RM153,000.
Sementara itu, faedah bulanan sama bernilai keseluruhan RM1,670 diperuntukkan untuk lapan anak yatim, dan jika disalurkan selama 15 tahun bakal mencecah RM300,600 bagi menampung perbelanjaan hidup mereka. Sekiranya dijumlahkan, keseluruhan faedah jangka panjang PERKESO untuk waris yang terkesan susulan insiden ini melebihi RM1.2 juta.
Di sinilah caruman yang mungkin kelihatan kecil ketika hayat masih berjalan, kini mengalir kembali dalam bentuk pulangan faedah, sekali gus membuktikan bahawa keselamatan sosial bukan bantuan sementara, tetapi amanah berpanjangan bagi memastikan waris tidak terpinggir menanggung kesan sebuah kehilangan. Di sisi lain, lima daripada 13 mangsa yang mengalami kecederaan didapati layak menerima faedah menerusi LINDUNG 24 Jam.
Sebelum 1 Jun 2026, mangsa nahas dekat susur Jabor ini mungkin sekadar menjadi sebahagian daripada statistik permohonan yang tidak dapat dibantu oleh PERKESO, ibarat tangan yang mahu menghulurkan pertolongan tetapi dirantai oleh batas kerangka perundangan ketika itu. Kini, kelima-limanya berupaya disantuni dan sebagai permulaan, PERKESO meluluskan kos pembedahan pemasangan implan bagi dua penerima bernilai keseluruhan sebanyak RM10,000.
Malah, kesemua mangsa cedera layak menerima bayaran gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan, selagi mereka tidak mampu untuk kembali bekerja. Bagi Ahmad Irwan Kairul Azha yang difahamkan masih kritikal dan terlantar di unit pemantauan rapi (ICU), bayaran gantian pendapatan ini dapat memastikan ‘periuk nasi’ keluarga kekal terjaga, khususnya buat isteri yang sedang sarat hamil tujuh bulan mengandungkan cahaya mata kedua.
Faedah yang menjadi sempadan perbezaan ketara berbanding produk perlindungan peribadi di pasaran ini berperanan sebagai talian sokongan hidup atau penampan agar gaji bulanan ketua keluarga tidak terputus di tengah jalan.
Mengenangkan rencam keperluan anak sulung berusia lima tahun dan zuriat baharu yang bakal hadir dalam keluarga mereka, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) menerusi LINDUNG 24 Jam ini hanya ‘benteng’ pertahanan pertama, sebelum disusuli Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berdasarkan taksiran daripada penelitian laporan perubatan oleh Jemaah Doktor.
Bagaimanapun, perlindungan buat Ahmad Irwan tidak terhenti pada bayaran gantian pendapatan atau faedah tunai semata-mata. Di hadapannya masih terhampar perjalanan pemulihan yang panjang untuk bangkit berdikari dan kembali memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Menerusi rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah, anggaran kos pemulihan melebihi RM100,000 akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.
Ini wajah sebenar perlindungan sosial yang bukan sekadar memperuntukkan pampasan faedah atau menampung kehidupan seseorang ketika terlantar, tetapi turut memayungi laluan penuh berliku untuk kembali menjadi sandaran insan tersayang.
Hari tidak selalunya cerah, tetapi nasib lima anak kecil, masing-masing kepada Ahmad Irwan dan seorang lagi mangsa, Mohd Rosli Jalaludin kekal terjamin termasuk menerusi faedah pinjaman pendidikan.
Biarpun berdepan ujian getir kehidupan, anak-anak pencarum LINDUNG 24 Jam tidak pernah sesekali dibiarkan terkapai mencari tempat berpaut.
Bersandarkan misi menutup kelompangan sedia ada, LINDUNG 24 Jam diwujudkan kerana musibah tidak pernah meminta izin sebelum datang menyapa, tidak mengenal tempat dan tidak memilih masa untuk merencatkan kehidupan seseorang.
Namun, sudah menjadi lumrah manusia, manakan mahu terngadah selagi tidak terhantuk.
Meskipun skim ini meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju seperti New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada dalam menyediakan perlindungan menyeluruh yang belum dinikmati di kebanyakan negara lain, LINDUNG 24 Jam tetap menjadi modal pertikaian dan cemuhan apabila yang dihitung hanyalah apa yang berkurang hari ini, tanpa membayangkan apa yang mungkin hilang esok.
Apabila pilihan untuk dikecualikan dibuka, keputusan itu mungkin terasa mudah, tetapi sebelum memilih, pandanglah wajah anak-anak kita dan tanyakan dengan jujur: “Jika kita tidak pulang malam ini, apakah perlindungan yang mereka ada dan siapakah yang akan memastikan makanan terus terhidang di atas meja, persekolahan tidak terhenti serta maruah keluarga tidak runtuh bersama hilangnya insan yang selama ini menjadi tempat bergantung?”
Di susur berhampiran Jabor, empat nyawa terhenti, namun seisi keluarga yang ditinggalkan di rumah masih perlu meneruskan kehidupan. Begitu juga impian seorang anak untuk mengejar cita-cita sebagai penjaga gol hoki ternama tidak wajar terkubur bersama ayahnya.
Selama ini, ‘tangan’ perlindungan sosial terikat pada batas waktu dan tempat kerja, tetapi kini LINDUNG 24 Jam hadir untuk meleraikan ikatan berkenaan agar faedah dapat disalurkan walaupun musibah menjengah selepas berakhirnya waktu bekerja. Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila tangan yang datang untuk menyambut kita ketika jatuh ditepis angkara dakyah dan momokan tanpa asas yang lebih dahulu meresapi fikiran.
Usahlah menunggu sehingga musibah sendiri hadir mengajar kita betapa berharganya sebuah perlindungan, kerana pada saat kesedaran itu menjelma, barangkali segala-galanya sudah terlambat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




