Tidak mahu peluang melihat anak membesar di depan berlalu begitu saja

Tidak mahu peluang melihat anak membesar di depan berlalu begitu saja

surayaroslan@mediaprima.com.my

TAWARAN kenaikan pangkat itu sepatutnya menjadi detik paling membanggakan dalam kerjayanya sebagai jururawat pediatrik.

Bertahun-tahun menabur bakti akhirnya membuahkan pengiktirafan, namun, di sebalik senyuman menerima berita itu, hatinya bergelut dengan satu persoalan yang hanya difahami oleh seorang ibu, adakah kejayaan kerjaya berbaloi jika perlu mengorbankan masa bersama anak-anak yang sedang membesar?

Akhirnya, Nurul Ain Khairi, 38, membuat keputusan yang mengejutkan ramai apabila menolak peluang kenaikan pangkat dan memilih menamatkan kerjayanya sebagai jururawat demi memberi sepenuh perhatian kepada keluarga.

Keputusan itu bukan dibuat kerana hilang minat terhadap profesion yang dicintainya.

Sebaliknya, ia lahir daripada rasa tanggungjawab seorang ibu yang percaya ada perkara dalam hidup yang tidak boleh diputar semula.

Detik melihat anak bertatih, mendengar mereka membaca buat kali pertama atau sekadar menjadi tempat mereka bermanja selepas melalui hari yang panjang jauh lebih bernilai daripada sebarang jawatan.

“Saya memang gembira apabila segala usaha dan pengorbanan selama berkhidmat akhirnya dihargai. Tetapi pada masa yang sama saya juga seorang isteri dan ibu kepada anak-anak yang masih kecil.

“Ketika itu saya dan suami menjalani perkahwinan jarak jauh. Dalam setiap keputusan yang saya buat, keluarga sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Minat Nurul Ain terhadap bidang kejururawatan bermula sejak kecil apabila dua ibu saudaranya menjadi insan yang mencetuskan impian itu apabila melihat dedikasi mereka membantu pesakit.

“Seorang bertugas sebagai bidan di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi, manakala seorang lagi menjawat jawatan pengurus jururawat di sebuah hospital swasta di negara ini,” katanya.

Katanya, melihat komitmen mereka membuatkan ibu tiga anak itu memasang impian untuk turut berkhidmat sebagai jururawat.

“Impian itu akhirnya menjadi kenyataan apabila saya dapat bertugas sebagai jururawat pediatrik di sebuah hospital swasta di ibu kota, satu bidang yang menuntut kesabaran tinggi, ketelitian dan kasih sayang terhadap kanak-kanak,” katanya.

Menurut Nurul Ain, namun, selepas bergelar ibu kepada tiga cahaya mata, keutamaan hidupnya berubah sedikit demi sedikit.

“Bagi ramai orang, kenaikan pangkat adalah impian, namun saya berada di persimpangan dilema yang amat berat. Saya berada di persimpangan antara kerjaya dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia sedar jawatan baharu membawa lebih banyak tanggungjawab dan komitmen, sedangkan ketika itu anak-anak masih kecil serta amat memerlukan perhatian seorang ibu.

“Saya percaya rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Walaupun keputusan itu bermakna saya melepaskan peluang besar, saya tidak mahu terlepas saat-saat penting ketika anak-anak membesar.

“Jawatan boleh dicari, tetapi masa bersama anak tidak akan kembali,” katanya.

Mengimbas kembali detik membuat keputusan itu, Nurul Ain mengakui ia antara keputusan paling sukar pernah dilaluinya.

“Sudah tentu ada rasa ragu-ragu. Saya perlu memilih antara kerjaya yang saya sayang dengan tanggungjawab terhadap keluarga.

“Selepas berbincang dengan suami dan keluarga, saya reda. Saya percaya setiap pilihan pasti ada hikmahnya,” katanya.

Mengenang kembali ketika bekerja, kehidupan hariannya bukan mudah.

“Saya perlu mengharungi syif yang panjang sebelum pulang menguruskan tiga anak yang masih kecil.

“Ada hari saya pulang dalam keadaan sangat penat, tetapi saya masih perlu menyusukan anak dan menguruskan mereka.

“Alhamdulillah, ibu banyak membantu menjaga cucu-cucunya. Tanpa sokongan ibu, mungkin lebih sukar untuk saya meneruskan kerjaya ketika itu,” katanya.

Akuinya, dalam masa sama, dia dan suami, Nurul Izran Nurul Anuar, 40, turut menjalani perkahwinan jarak jauh selama hampir 13 tahun.

“Suami bertugas sebagai jurutera mekanikal dalam industri loji janakuasa yang berpangkalan di Dubai, dengan tanggungjawab meliputi beberapa negara di rantau Timur Tengah dan Afrika, disebabkan itu saya perlu lebih berdikari, matang dan tabah menguruskan rumah tangga walaupun banyak perkara perlu dipikul sendirian.

“Saya perlu kuat daripada segi mental dan fizikal. Alhamdulillah, hari ini saya bersyukur melihat anak-anak membesar dengan baik dan keluarga kami terus utuh walaupun melalui pelbagai cabaran,” katanya.

Seperti manusia lain, Nurul Ain mengakui dirinya tidak pernah terlepas daripada memikirkan kemungkinan sekiranya dia membuat pilihan yang berbeza.

“Pada mulanya saya tidak menyesal. Tetapi apabila anak-anak semakin besar, kadang-kadang terlintas juga persoalan ‘bagaimana kalau saya masih bekerja?’.

‘Itu lumrah manusia. Mungkin kehidupan saya berbeza, tetapi saya juga percaya cabaran menjadi ibu bekerjaya dalam bidang kejururawatan bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Akuinya, setiap keputusan mempunyai harga yang perlu dibayar, dia mungkin kehilangan peluang untuk naik pangkat, tetapi memperoleh sesuatu yang lebih bermakna, iaitu peluang membesar bersama tiga anaknya, Miazahra, 12, Maisarah, 10, dan Zafran, 8.

“Saya percaya wanita sering meletakkan diri mereka di tempat terakhir. Ibu selalunya lebih banyak memberi daripada menerima. Kita sering mendahulukan keperluan keluarga sehingga terlupa menjaga diri sendiri.

“Sebab itu komunikasi, toleransi dan sokongan antara suami isteri sangat penting supaya tanggungjawab dapat dipikul bersama.

“Beriadah, meneruskan hobi atau bertemu rakan-rakan mungkin nampak perkara kecil, tetapi ia mampu menenangkan fikiran dan mengembalikan semangat,” katanya.

Menurutnya, ibu adalah sumber kekuatan sesebuah keluarga, apabila ibu sihat dan bahagia, seluruh keluarga turut merasai kebahagiaan itu.

Nurul Ain turut menitipkan kata-kata buat semua wanita yang sedang bergelut membuat pilihan antara kerjaya dan keluarga.

“Saya amat menghormati semua wanita, sama ada yang bekerjaya, suri rumah mahupun ibu tunggal. Setiap jalan yang dipilih mempunyai cabaran tersendiri.

“Jangan bandingkan perjalanan hidup kita dengan orang lain. Pilihlah apa yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga.

“Yang penting, jangan sesekali lupa menjaga kesihatan fizikal dan emosi kerana seorang ibu yang bahagia akan melahirkan sebuah keluarga yang bahagia,” katanya.

Bagi Nurul Ain, dia mungkin meninggalkan kerjaya yang pernah menjadi impiannya sejak kecil, namun hingga hari ini tidak pernah merasakan dirinya gagal.

Sebaliknya, setiap kali melihat senyuman anak-anak yang membesar di depan mata, dia tahu keputusan yang dibuat suatu ketika dahulu bukan sekadar pengorbanan, tetapi hadiah paling berharga yang mampu diberikan kepada keluarganya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top