Terpedaya helah 'Maria Adibah', penuntut universiti rugi lebih RM56,000

Terpedaya helah 'Maria Adibah', penuntut universiti rugi lebih RM56,000

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang penuntut universiti awam kerugian lebih RM56,000 selepas diperdaya sindiket love scam oleh seorang wanita yang hanya dikenalinya menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 22 tahun membuat laporan polis petang semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata, mangsa berkenalan dengan seorang wanita yang menggunakan nama Maria Adibah Abd Aziz melalui aplikasi Telegram pada 11 Mei lalu.

“Suspek mendakwa bekerja di sebuah syarikat pemasaran dalam talian di Kuala Lumpur sebelum meminta mangsa meminjamkan wang kononnya bagi tujuan bayaran kepada syarikat tempatnya bekerja.

“Suspek turut menawarkan untuk menunjukkan bahagian sulit badan serta menjalinkan hubungan intim sekiranya mangsa membuat bayaran kepadanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azli berkata, terpedaya dengan helah itu, mangsa melakukan kira-kira 45 transaksi antara 11 Mei hingga 4 Julai lalu menggunakan tiga akaun bank miliknya.

Katanya, semua pembayaran dibuat melalui kod QR ke akaun yang diberikan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM56,375.

“Mangsa tidak pernah bertemu suspek dan hanya berhubung menerusi mesej di aplikasi Telegram.

“Sehingga kini suspek terus meminta wang sehingga mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai individu yang baru dikenali di media sosial atau aplikasi sembang, terutama yang meminta wang atau menawarkan ganjaran serta hubungan intim sebagai umpan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top