BERLIN: Kegagalan berterusan Jerman di pentas Piala Dunia bukan lagi semata-mata prestasi atas padang, sebaliknya didakwa melibatkan masalah struktur, birokrasi dan budaya yang membelenggu pembangunan bola sepak negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bayer Leverkusen, Fernando Carro berkata, kemerosotan skuad juara dunia empat kali itu mencerminkan kelemahan sistem pembangunan yang memerlukan perubahan menyeluruh, termasuk pelaburan lebih besar dalam pembangunan pemain muda dan infrastruktur moden.
Jerman sekali lagi mengecewakan apabila tersingkir seawal kelompok 32 terakhir Piala Dunia pada Jun lalu selepas tewas kepada Paraguay, sekali gus meneruskan rentetan hambar selepas gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022.
“Jerman masih mempunyai pemain individu yang cemerlang, tetapi kami perlu melihat dengan teliti kedudukan semasa kerana semakin kurang pemain yang berjaya mencapai tahap tertinggi.
“Perlu ada pelaburan lebih besar dalam pembangunan belia, termasuk penyelarasan lebih baik antara sekolah dan sukan.
“Infrastruktur moden juga amat penting, namun terlalu banyak projek terbantut akibat birokrasi serta proses membuat keputusan yang terlalu panjang,” katanya.
Carro, yang membantu Bayer Leverkusen merangkul kejuaraan Bundesliga pertama dan Piala Jerman pada musim 2023-2024 berkata, masalah itu bukan sekadar membabitkan kemudahan fizikal, malah turut dipengaruhi faktor budaya.
Menurut warga Sepanyol berusia 61 tahun itu, Leverkusen sendiri terpaksa menunggu hampir sedekad untuk mendapatkan kelulusan membina pusat latihan baharu walaupun skop projek sudah dikecilkan.
“Kami masih bergelut mendapatkan kelulusan walaupun tapak yang sesuai sudah dikenal pasti. Itu hanyalah satu contoh kepada cabaran lebih besar yang dihadapi di Jerman,” katanya.
Carro turut menjadikan Sepanyol, England dan Perancis sebagai contoh negara yang berjaya kerana melaksanakan pelaburan berterusan dalam akademi, pembangunan jurulatih serta kemudahan latihan moden, selain memiliki budaya yang menekankan cita-cita tinggi, daya tahan dan kekuatan kolektif. – AGENSI/UTUSAN




