mhafis@mediaprima.com.my
Foto Ihsan SPRM
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan komitmen sifar kompromi terhadap tadbir urus keselamatan, pengurusan persenjataan dan kesiapsiagaan mendepani ancaman siber berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, aspek keselamatan perlu diperkasa secara berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan organisasi sentiasa berada pada tahap optimum.
“Selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2024, Jawatankuasa Keselamatan Perlindungan (JKP) Negeri kini diwajibkan melaksanakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan mengemukakan laporan penilaian kendiri secara berkala kepada Ibu Pejabat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JKP Bilangan 2 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam.
Dalam mesyuarat itu, beliau mengingatkan Pegawai Keselamatan Jabatan (PKJ) dan Penolong Pegawai Keselamatan Jabatan (PPKJ) supaya mematuhi sepenuhnya Perkara 32 Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).
Katanya, pematuhan itu merangkumi perlindungan dokumen terperingkat, pemeriksaan fizikal premis secara berkala serta penganjuran taklimat kesedaran bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).
“Bahagian Keselamatan dan Seksyen Persenjataan juga perlu memperketatkan sistem penyimpanan serta rekod keluar masuk senjata tanpa sebarang kelonggaran terhadap prosedur ditetapkan.
“Warga SPRM juga perlu membudayakan gaya hidup sihat bagi memastikan kesiapsiagaan fizikal dan mental pegawai sentiasa berada pada tahap optimum, khususnya ketika menjalankan tugas penguatkuasaan di lapangan dan menghadiri prosiding mahkamah,” katanya.
Dalam menghadapi evolusi jenayah digital yang semakin kompleks, beliau mengarahkan Bahagian Keselamatan SPRM bersama Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM mempertingkatkan keupayaan forensik digital yang memberi fokus kepada pengesanan ancaman manipulasi deepfake, klon suara serta penipuan dokumen yang digunakan penjenayah.
“Warga SPRM juga digesa mengeksploitasi teknologi AI secara beretika bagi memperkukuh analisis data dan mempercepatkan pengesanan transaksi kewangan yang mencurigakan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi selaku Pegawai Keselamatan Jabatan (PKJ) Ibu Pejabat SPRM; Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM,Hishammudin Mohammed Esa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




