2 gajah jantan liar dipindahkan ke habitat semula jadi

2 gajah jantan liar dipindahkan ke habitat semula jadi

bhnews@bh.com.my

Gambar ihsan PKGK Kuala Gandah

Kuantan: Dua gajah jantan yang ditangkap di kawasan Kampung Dusun, Lipis, kelmarin dipindahkan ke habitat semula jadi yang lebih selamat semalam.

Dua haiwan liar dengan berat antara 1.5 hingga 1.6 tan sebelum ini dilapor berkeliaran di kawasan Kampung Dusun dan Kampung Melaka, selain mencari makan dalam kawasan ladang kelapa sawit di FELDA Kechau serta kawasan sekitar.

Dua gajah liar berusia antara 14 hingga 15 tahun itu ditangkap dalam operasi dijalankan anggota Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, kelmarin.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, operasi memindahkan haiwan liar terbabit bermula dengan membina dua tempat menaikkan gajah ke atas lori atau ‘loading bay,’ lokasi pertama kira-kira 200 meter daripada gajah dan tempat kedua lebih 50 meter.

Katanya, pihaknya bertanggungjawab menjalankan operasi memindahkan dua gajah jantan itu selepas PERHILITAN Pahang berjaya menangkapnya kelmarin selepas lebih seminggu mengesan kemunculan haiwan liar itu.

Menurutnya, gajah dengan saiz tapak kaki kanan kira-kira 14 inci itu, tanda pengenalan (ID) pada haiwan terbabit mendapati sebelum ini menjadikan Taman Negara sebagai kawasan habitat semula jadi dan bergerak secara berkumpul sebelum berpisah bagi membentuk kumpulan baharu.

“Seramai 20 kakitangan PKGK Kuala Gandah dan PERHILITAN Pahang terbabit dalam operasi kali ini, kami dibantu dua ekor gajah denak Sanum dan Rambai. Operasi bermula sembilan pagi mengambil masa kira-kira enam jam.

“Kita bertindak memasang mikrocip dan pengukuran morfologi dilakukan, haiwan liar terbabit dilepaskan ke habitat yang bersesuaian jauh daripada penempatan dan projek pertanian,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Beliau menambah, musim buah-buahan seperti durian, rambutan, duku dan manggis menjadi antara faktor gajah menceroboh kawasan kebun termasuk penempatan bagi mencari makan. Kini kes ancaman haiwan itu semakin bertambah membabitkan beberapa negeri seperti Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Che Ku Mohd Zamzuri Chik berkata, hampir setiap minggu pihaknya menerima aduan kemunculan gajah liar di kawasan kampung selain kebun dan ladang kelapa sawit di beberapa negeri, tindakan dilakukan dengan kerjasama PERHILITAN negeri dengan cara menghalau selain menangkap sebelum dipindahkan ke habitat semula jadi.

“Selepas ini kita akan ke Gerik, Perak, Gua Musang Kelantan dan Kluang, Johor bagi membantu menyelesaikan kemelut ancaman gajah liar dikatakan memusnahkan tanaman kelapa sawit dan menceroboh kawasan penempatan. Sekiranya perlu usaha menangkap dan memindahkan akan dilakukan.

“Saya menasihatkan pada pihak terbabit supaya tidak bertindak sendiri bagi menghalau gajah liar kerana perbuatan itu boleh mengundang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top