Aaron sedia bermula dari kosong demi Malaysia

Aaron sedia bermula dari kosong demi Malaysia

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas hampir sedekad membina nama bersama Soh Wooi Yik, Aaron Chia tidak mahu terus dibelenggu kenangan lama apabila bersedia memulakan lembaran baharu bersama pasangan berbeza demi memastikan beregu lelaki negara terus kekal kompetitif.

Juara dunia 2022 dan pemenang dua pingat gangsa Olimpik itu mengakui tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pemain kerana percaya setiap keputusan dibuat barisan kejurulatihan adalah demi kepentingan jangka panjang skuad negara.

“Bagi saya, di BAM kami memang ikut keputusan jurulatih. Jurulatih sudah berbincang dengan Presiden dan semua pihak, jadi saya tak rasa ia sesuatu yang susah untuk diterima.

“Ini pun masih dalam peringkat percubaan, bukannya keputusan muktamad. Kelayakan Olimpik pun belum bermula, jadi masih ada masa. Yang penting saya perlu terus memperbaiki diri,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pagi tadi.

Aaron bakal memulakan cabaran bersama Aaron Tai pada Terbuka China bertaraf Super 1000 minggu depan sebelum meneruskan gandingan itu di Terbuka Taiwan dan Korea Masters.

Selepas itu, pemain berusia 29 tahun berkenaan akan membentuk gandingan bersama Tee Kai Wun bagi menghadapi siri jelajah Eropah membabitkan Terbuka Arctic, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo pada Oktober depan.

Mengulas mengenai perubahan itu, Aaron melihat peluang beraksi bersama pasangan baharu sebagai satu pengalaman yang mampu membuka dimensi berbeza dalam kariernya, selepas sekian lama hanya bergandingan dengan Wooi Yik.

“Saya tak mahu cakap sama ada baik atau tidak sebab ini pengalaman baharu. Saya dah lama dalam skuad kebangsaan, tetapi tak pernah bermain sebagai scratch pair dalam kejohanan antarabangsa.

“Boleh dikatakan ini sesuatu yang menyegarkan. Kita tengok negara seperti China dan Korea Selatan pun selalu mencuba scratch pair sehingga berjaya. Jadi sekarang kita jalan dulu dan lihat apa yang berlaku hujung tahun nanti,” katanya.

Aaron turut menegaskan komitmennya tidak akan berubah walaupun dipasangkan dengan sesiapa kerana tanggungjawabnya tetap sama iaitu memberikan aksi terbaik setiap kali diberi peluang beraksi.

“Saya memang tak kisah digandingkan dengan siapa. Siapa pun pasangan saya, saya tetap akan beri 100 peratus di dalam gelanggang.

“Macam dalam Piala Thomas juga, walaupun scratch pair, bila masuk gelanggang kita tetap kena beri segala-galanya. Itu tanggungjawab saya,” katanya.

Percaturan dilakukan barisan kejurulatihan itu dijangka menjadi medan terbaik untuk menilai keberkesanan kombinasi baharu beregu lelaki negara menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top