SHAH ALAM – Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon menegaskan fokus utama parti ketika ini ialah memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, sebarang pendekatan diambil termasuk kerjasama perlu berlandaskan matlamat untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menjamin kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi serta menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat.
Ini kerana katanya, suara dan kepentingan rakyat Negeri Sembilan perlu menjadi keutamaan.
“Pemuda MCA akan terus memainkan peranan sebagai barisan hadapan parti. Kami komited untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera, membantu calon-calon BN serta turun padang mendekati rakyat sepanjang tempoh kempen.
“Dalam masa yang sama, Pemuda MCA akan terus berpegang teguh kepada prinsip demokrasi, kesederhanaan, keterbukaan dan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi asas kepada perjuangan parti sejak sekian lama.
“Saya juga ingin menyeru seluruh anggota MCA di semua peringkat agar sekali lagi menggembleng tenaga, mengetepikan segala perbezaan dan turun membantu rakan-rakan kita di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Perikatan Nasional (PN) sah kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) apabila mengumumkan 11 calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan, sekali gus melengkapkan jumlah keseluruhan 36 kerusi selepas 11 kerusi kosong susulan pengumuman 25 calon yang dibuat BN.
Sebelum itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung mempersoal dakwaan mengenai pakatan pilihan raya yang dikatakan berlaku antara UMNO dan PN diketuai Pas untuk berdepan pilihan raya di negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, kemenangan tidak akan datang dengan sendiri tetapi melalui kesatuan dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
Beliau berkata, kemenangan di Johor membuktikan bahawa tiada cabaran mustahil diatasi sekiranya seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan.
“Marilah kita membawa momentum kemenangan Johor ke Negeri Sembilan dan bersama-sama memastikan Barisan Nasional terus melakar kejayaan demi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta masa depan rakyat dan negara,” katanya.



