Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan agar tidak leka dan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan serta peka dengan perkembangan sekeliling susulan keadaan di rantau Teluk yang masih tidak menentu.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha memaklumkan bahawa buat masa ini operasi kedutaan masih berjalan seperti biasa dan pihaknya sedang mengemas kini maklumat keberadaan rakyat Malaysia di Qatar.
“Oleh itu, sila kemas kini maklumat anda dan keluarga melalui sistem eKonsular Kementerian Luar Malaysia. Jika anda belum mendaftar, sila layari laman eKonsular : https://ekonsular.kln.gov.my/register,” menurut notis yang dimuat naik di laman Facebook rasmi kedutaan itu, pada Jumaat.
Selain itu, rakyat Malaysia yang transit di Qatar juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Kementerian Luar, MyWorldAlert, bagi membolehkan bantuan segera dihulurkan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Rakyat Malaysia di Qatar yang memerlukan bantuan eKonsular, boleh menghubungi talian +974 3374 6733 / +974 4483 6463 atau e-mel mwdoha@kln.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




