Mexico City: Demam Piala Dunia 2026 bukan sahaja melanda padang bola sepak, malah turut mempengaruhi pilihan nama bayi di beberapa negara Amerika Latin.
Di Peru, ratusan bayi baharu dilaporkan diberi nama sempena bintang Norway, Erling Haaland, manakala nama legenda seperti Lionel Messi, Neymar dari Brazil dan Cristiano Ronaldo dari Portugal turut menjadi pilihan ibu bapa.
Jurucakap Pejabat Pendaftaran Awam Peru (RENIEC), Ivan Torres, berkata nama yang diinspirasikan daripada pemain terkenal itu merekodkan ribuan pendaftaran, termasuk kira-kira 30,000 bayi menggunakan nama berkaitan Messi, Neymar dan Ronaldo.
“Haaland kini juga menjadi milik Peru,” kata Torres kepada Panamericana TV sambil mendedahkan seorang bayi turut dinamakan “Mundial”, merujuk kepada istilah bahasa Sepanyol bagi Piala Dunia walaupun Peru gagal layak ke kejohanan berkenaan.
Fenomena itu turut dipengaruhi sokongan penyokong bola sepak di Amerika Latin terhadap pasukan Norway, khususnya selepas pasukan berkenaan mencipta kejutan dengan mara ke suku akhir buat kali pertama menerusi gandingan mantap bersama Haaland.
Di Mexico, sebuah sijil kelahiran bayi perempuan tular di media sosial selepas dikatakan diberi nama Quinona Ysisidra Morita Haaland Guevara, gabungan nama pemain Mexico, Julian Quinones dan Gilberto Mora, serta penyerang Norway itu.
Di wilayah Salta, Argentina, nama Enzo, Emiliano dan Lionel menjadi antara nama bayi lelaki paling popular seminggu sebelum final Piala Dunia, menurut pihak berkuasa tempatan yang menyifatkannya sebagai “fenomena Piala Dunia”.
Ketiga-tiga nama itu dikaitkan dengan pemain skuad Argentina ketika ini iaitu pemain tengah Enzo Fernandez, penjaga gol Emiliano “Dibu” Martinez dan kapten pasukan, Messi.
Hos podcast keibubapaan dari Mexico City, Fabiola Molina, berkata trend menamakan bayi berdasarkan bintang sukan bukan perkara baharu di Amerika Latin, malah sudah berlaku sejak kejayaan Diego Maradona menjaringkan gol “Tangan Tuhan” pada Piala Dunia 1986.
Beliau bagaimanapun mengingatkan nama yang membawa imej pemain terkenal tidak semestinya menentukan masa depan seseorang kanak-kanak.
“Hanya kerana nama anda Messi atau Lionel, tidak bermakna anda akan membesar sebagai pemain bola sepak yang hebat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




