Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu diingatkan supaya terus melaksanakan tugas tanpa berlengah selepas mengangkat sumpah jawatan.
Barisan Exco akan segera turun padang
Memetik laporan daripada Sinar Harian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan semua Exco perlu segera turun padang bagi memastikan mandat yang diberikan rakyat diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
“Saya mengingatkan seluruh barisan Exco bahawa kita tiada masa untuk berbulan madu. Tidak ada percutian bulan madu.
“Mandat besar dan berharga yang diberikan oleh Bangsa Johor perlu diterjemahkan kepada kerja yang lebih kuat, penyampaian yang lebih cekap dan hasil yang dapat dirasai oleh setiap rakyat,” katanya selepas Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di Istana Bukit Serene, di sini pada Sabtu.
Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri kini memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan pelaksanaan agenda Maju Johor 2030 menerusi pentadbiran yang lebih cekap, efektif dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Beliau turut memaklumkan gabungan Exco berpengalaman dan muka baharu dibentuk bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri, di samping membawa idea serta pendekatan baharu untuk mempercepat pelaksanaan dasar kerajaan demi manfaat rakyat Johor.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azura Md Amin)





