mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Hujan lebat menyebabkan Medan Selera 223 di Seksyen 51A, Petaling Jaya, dekat sini, kembali dilanda banjir kilat petang ini.
Rakaman siaran langsung di TikTok menunjukkan air keruh memenuhi kawasan medan selera berkenaan dengan parasnya mencecah bawah pinggang.
Beberapa peniaga dan orang awam dilihat meredah air, manakala barangan perniagaan diletakkan di tempat lebih tinggi bagi mengelakkannya ditenggelami banjir.
Kejadian hari ini bukan kali pertama berlaku di medan selera berkenaan yang turut dilanda banjir kilat pada 20 April dan 6 Mei lalu.
Selain itu beberapa kawasan di sekitar Petaling Jaya turut mengalami banjir kilat.
Dalam kejadian pada 20 April, paras air dilaporkan mencecah pinggang sebelum banjir berulang kira-kira dua minggu kemudian.
Banjir pada 6 Mei menyaksikan kira-kira 60 gerai ditenggelami air sedalam 1.2 meter, selain beberapa kenderaan di kawasan parkir turut tenggelam.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini memaklumkan kejadian berkenaan berpunca daripada taburan hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh singkat dari kawasan hulu di Kuala Lumpur.
Hujan luar biasa itu menyebabkan Sungai Penchala gagal menampung aliran air, selain berlaku aliran balik dari Sungai Klang yang mencapai kapasiti maksimum.
Kerja pembaikan tebing sungai yang menyebabkan penyempitan aliran di bahagian hilir turut dikenal pasti mempercepatkan limpahan air ketika hujan lebat.
Dalam kejadian berasingan, sebuah kereta dilaporkan ditenggelami air sehingga paras tingkap berhampiran kawasan Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Jalan Damansara, di sini.
Banjir kilat turut melanda kawasan berhampiran kawasan pejabat di Seksyen 51A dengan beberapa kereta dilihat terkandas.
Rakaman dari lokasi menunjukkan sekurang-kurangnya enam kereta ditenggelami air sehingga kira-kira separuh bahagian badan kenderaan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ketika dihubungi, hari ini, memaklumkan pasukan sedang bergerak ke lokasi terjejas banjir di sekitar Petaling Jaya.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan banjir kilat di kawasan Petaling Jaya.
“Sehingga jam 5 petang tadi, kita hanya menerima kecemasan di kawasan Petaling Jaya membabitkan banjir kilat. Pihak kami sedang mengambil tindakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




