am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya masih teringat kata-kata dia menerusi panggilan telefon sebelum menaiki pesawat. Dia minta saya tunggu di Malaysia. Arwah sangat teruja untuk pulang dan berpuasa dengan adik-beradik di Perak,” kata Noor Akmar Noor, adik kepada Allahyarhamah Noor Rahimah Mohd Noor.
Noor Akmar yang begitu rapat dengan arwah mengakui meskipun sudah 12 tahun berlalu, panggilan terakhir diterima itu sukar dilupakan.
“Ketika kejadian, saya dan anak lelaki dalam perjalanan untuk menjemput arwah di lapangan terbang.
“Saya mendapat tahu kejadian menimpa pesawat MH17 yang ditembak jatuh selepas dihubungi pihak syarikat MAS,” katanya.
Mengikut perancangan, anak lelaki arwah bernama Johan akan pulang bersama ke Malaysia namun terpaksa dibatalkan susulan perlu menghadiri peperiksaan ketika itu,” katanya.
Menurutnya, arwah bekerja dan sudah menetap lama di Geneva, Switzerland kerana sudah berkahwin serta memiliki kerakyatan di sana.
Mengenali sifat arwah, dia dan adik-beradik seramai 13 orang cukup terkesan dengan kehilangan meskipun arwah menetap di luar negara.
“Arwah amat penyayang dan sangat menjaga hubungan adik-beradik. Dia akan pulang ke Malaysia setiap kali bercuti panjang.
“Dia suka pergi ke rumah adik-beradik dan menghabiskan masa dengan keluarga besar.
“Dia kakak kedua dan saudara perempuan pertama yang meninggal dalam keluarga,”katanya.
Kata Noor Akmar, dia reda dan menganggap tragedi itu perancangan Allah SWT serta berdoa mangsa yang terbabit mendapat keadilan sewajarnya. “Sudah 12 tahun, kami masih mengekalkan hubungan dengan suami dan anak-anak arwah.
Noor Rahimah adalah salah seorang penumpang tragedi ‘berdarah’ pesawat MH17 pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan 298 penumpang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




