SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) bukan sebuah gabungan yang gila kuasa, sebaliknya didakwa mahu mengembalikan kuasa politik Melayu Islam daripada pihak yang dianggap hanya mementingkan kuasa.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, usaha penyatuan ummah itu juga diharap terus berkekalan.
“Doakan penyatuan ummah kini kekal sampai bila-bila. PN bukan gila kuasa, tetapi kita mahu mengembalikan kuasa politik Melayu Islam daripada orang yang gila kuasa
“Penyatuan bermula kembali di Negeri Sembilan, bibit awal di Johor apabila Pas memberi undi kepada BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang PN tidak bertanding,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dalam PRN Johor pada 11 Julai lalu, Pas mengarahkan ahli dan penyokongnya untuk mengundi calon UMNO-BN di kerusi DUN yang tidak ditandingi PN.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada UMNO-BN di kawasan yang tiada calon daripada gabungan PN.
Kata Mohd Misbahul yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, kini di Negeri Sembilan pula, PN bertanding di 11 kerusi.
“BN bagi laluan PN bertanding manakala BN bertanding di 25 kerusi DUN sahaja,” kata beliau lagi.



