am@hmetro.com.my
Melaka: Detik cemas dialami peniaga dan orang awam apabila sebuah rumah kedai dua tingkat yang dipercayai sedang menjalani kerja ubah suai runtuh secara tiba-tiba di Taman Kota Laksamana di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, runtuhan bangunan berusia 40 tahun yang didakwa menjadi ternakan burung walit turut menghempap dua kenderaan milik orang awam iaitu Toyota Vios dan Proton Iris yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
Peniaga buah-buahan, Hong Hiew Khim, 65, berkata, dia terkejut apabila melihat struktur bangunan berkenaan mula kelihatan senget kira-kira 15 minit sebelum kejadian.
Menurutnya, dia sempat memberitahu isterinya mengenai keadaan bangunan itu yang dipercayai tidak stabil sebelum terdengar bunyi runtuhan kuat.
“Sebelum kejadian nampak struktur bangunan itu sudah senget seperti hendak runtuh, saya terus beritahu isteri.
“Tak sampai 15 minit, bangunan itu runtuh dengan bunyi yang sangat kuat tapi nasib tak ada orang yang terperangkap,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga nasi ayam, yang hanya mahu dikenali sebagai Ho, 60, yang berada berhampiran turut terkejut apabila menyaksikan kejadian berkenaan berlaku di hadapan premis perniagaannya.
Ho berkata, ketika itu dia sedang melayan pelanggan sebelum dikejutkan bunyi kuat dan diikuti bunyi runtuhan kedua.
“Bukan sekali runtuhan berlaku tapi dua kali sebelum bomba dan polis datang kira-kira 15 minit kemudian.
“Sepanjang niaga nasi ayam ini kejadian pertama yang berlaku di depan mata dan hanya terletak 30 meter sahaja dari tempat saya,” katanya.
Tinjauan di lokasi orang ramai telah berkumpul di lokasi selain terdapat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Melaka Tengah selain anggota polis turut mengawal aliran trafik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




