Laporte hanya selangkah julang trofi Piala Dunia 2026

Laporte hanya selangkah julang trofi Piala Dunia 2026

New York: Aymeric Laporte hanya selangkah lagi untuk menjulang trofi Piala Dunia bersama Sepanyol namun perjalanan karier antarabangsanya tidak selalu bersama ‘La Roja.’

Pertahanan berusia 32 tahun itu menjadi tonggak utama Sepanyol sepanjang kejohanan di Amerika Utara apabila memulakan kesemua perlawanan dan hampir beraksi setiap minit.

Laporte memainkan peranan penting dalam benteng pertahanan Sepanyol yang hanya bolos satu gol setakat ini dan kemenangan ke atas Argentina pada final akan membolehkan dia bergelar juara dunia.

Kejayaan itu juga bakal melengkapkan koleksi trofinya selepas sebelum ini membantu Sepanyol menjuarai Kejuaraan Eropah (EURO) 2024.

Namun, Laporte tidak akan berpeluang memburu kejayaan berganda itu jika tidak membuat keputusan menukar kewarganegaraan beberapa tahun lalu.

Pemain pertahanan itu pernah membuat 51 penampilan di peringkat remaja bersama Perancis yang disingkirkan Sepanyol pada separuh akhir Piala Dunia kali ini.

Walaupun beraksi untuk skuad Perancis bawah 17 (B-17) tahun dan bawah 21 (B-21) tahun, Laporte tidak pernah membuat penampilan sulung bersama skuad senior ‘Les Bleus.’

Dia pernah dipanggil oleh Didier Deschamps sebanyak dua kali tetapi tidak diturunkan walau seminit, sebelum terus tidak dipanggil selepas kali terakhir bersama pasukan kebangsaan pada 2019.

Kecewa dengan peluang terhad yang diterimanya ketika itu, Laporte yang beraksi bersama Manchester City berkata ‘saya tidak fikir ia kerana isu sukan, anda perlu bertanya kepadanya (Deschamps) secara peribadi.

“Saya tiada masalah peribadi dengannya tetapi jika seseorang mempunyai masalah, ia adalah dia dan bukannya saya.

“Saya boleh menjadi juara dunia tetapi itu adalah keputusan jurulatih yang tidak memanggil saya atas sebab yang saya fikir bersifat peribadi dan saya perlu menghormatinya.”

Pada Mac 2021, Laporte kemudian menerima tawaran daripada Sepanyol untuk menukar kewarganegaraan daripada Perancis.

Dilahirkan di wilayah Basque Perancis, dia layak mewakili ‘La Roja’ selepas diberikan pasport Sepanyol.

Bekas jurulatih Sepanyol, Luis Enrique berjaya meyakinkannya untuk membuat pertukaran itu dan dua bulan selepas pendekatan awal, Laporte secara rasmi memperoleh kewarganegaraan Sepanyol.

Keputusan itu pernah mengundang kritikan daripada beberapa pihak namun ia kini terbukti berbaloi apabila Laporte semakin hampir mencapai impian menjulang Piala Dunia.

Setakat ini, dia sudah memenangi dua trofi antarabangsa bersama Sepanyol iaitu Liga Negara-Negara UEFA 2023 dan EURO 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top