mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain dram kumpulan rock Meditasi, Raja Azreen meninggal dunia selepas rebah ketika menjayakan persembahan di Rock Festival Teruntum di Kuantan, Pahang, malam tadi.
Berita sedih ini dikongsikan ramai penggiat seni di media sosial antaranya vokalis kumpulan Masa Legacy, Zack.
“Assalamualaikum mendapat perkhabaran duka bahawa pemain dram kumpulan Meditasi iaitu Abg Azreen Meditasi telah kembali ke Rahmatullah (malam) tadi sewaktu membuat persembahan di Rock Festival Teruntum.
“Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan salam takziah buat keluarga arwah,” tulisnya.
Zack menerusi penjelasan lanjut berkata, dia difahamkan Allahyarham sangat berhasrat bermain dram untuk lagu yang pertama dari album Meditasi dan ia adalah permintaannya.
Sementara itu, vokalis kumpulan terbabit, Burn menerusi perkongsian di Facebooknya memaklumkan jenazah arwah dijangka tiba di surau Bangi Perdana, Bangi sekitar jam 9 pagi ini untuk urusan pengebumian.
Meditasi berasal dari Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang. Mereka popular pada era 1990-an menerusi lagu Bidadari, Hukuman Pada Pesona dan Biar Pedih Kasih Memanjang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




