Rugi RM150,000 diperdaya 'Maira'

Rugi RM150,000 diperdaya 'Maira'

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Umpan dengan memberi pulangan awal menjerat seorang juruelektrik hingga mengalami kerugian RM150,000 selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa lelaki berusia 48 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 5.05 petang semalam.

Menurutnya, pada 2 Julai lalu mangsa menerima mesej menerusi WhatsApp daripada nombor telefon yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Maira’.

Katanya, melalui perkenalan itu, suspek kemudian menawarkan kepada mangsa untuk menyertai satu skim pelaburan yang dikenali sebagai ‘Centralize International’ dengan menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan dalam tempoh singkat.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat beberapa pelaburan awal bagi mengaburi mata mangsa selepas menyertai pelaburan itu.

“Melalui lima pelaburan yang dibuat, mangsa menerima pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata, helah yang dilakukan menyebabkan mangsa percaya bahawa skim pelaburan berkenaan adalah sah dan benar-benar memberikan keuntungan.

Azli berkata, suspek kemudiannya menawarkan pakej pelaburan yang lebih tinggi bernilai RM100,000 dengan janji bonus keuntungan yang bakal diperoleh sebanyak RM70,000.

Menurutnya, bermula pada 8 hingga 16 Julai lalu, mangsa membuat empat transaksi berjumlah keseluruhan RM150,000 ke beberapa akaun bank yang diarahkan suspek.

Katanya, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

“Sebaliknya, suspek memaklumkan bahawa akaun pelaburan mangsa sudah dibekukan dan meminta mangsa membuat bayaran tambahan bagi membolehkan wang pelaburan itu dikeluarkan.

“Mangsa kemudiannya menyedari dirinya diperdaya dan gagal memperoleh semula wang yang dipindahkan ke beberapa akaun sebelum itu,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM150,000 dan kemudian hadir membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sumber kewangan adalah wang simpanan milik mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top