Pesalah kemalangan bayar pampasan kepada mangsa selari usaha JPM Hal Ehwal Agama teliti mekanisme diyat

Pesalah kemalangan bayar pampasan kepada mangsa selari usaha JPM Hal Ehwal Agama teliti mekanisme diyat

nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Langkah mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] selari dengan usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang sedang meneliti pelaksanaan mekanisme diyat, iaitu pampasan berasaskan Syariah.

Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, mekanisme berkenaan sedang dikaji bersama barisan mufti dan pakar perundangan sejak 11 Februari lalu bagi memastikan pelaksanaan pampasan mahkamah itu bersifat adil serta mampu melindungi hak keluarga mangsa.

“Pindaan mandatori ini menjadi amaran keras bahawa undang-undang tidak lagi akan bertoleransi dengan pembunuh di jalan raya, sekali gus memastikan keadilan buat mangsa ditegakkan dengan pantas tanpa perlu melalui proses sivil yang berlarutan.

“Sehubungan itu, pihak kami sedia menyumbang kepakaran bagi memastikan penggubalan mekanisme pampasan mahkamah ini bersifat adil, kalis kelompangan undang-undang dan mampu memberikan perlindungan hak kepada keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju secara dasar dengan cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris sebagai hukuman tambahan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan Kabinet itu bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman sedia ada seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah turut dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatan mereka kepada mangsa serta keluarga.

Anthony dilaporkan berkata, mekanisme pampasan berkenaan akan meliputi kesalahan seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu secara melulu serta kesalahan lain yang menyebabkan kemalangan jalan raya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri itu kerana tragedi yang meragut nyawa akibat kecuaian melampau seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah jenayah yang tidak boleh dikompromi.

“Ketegasan Kementerian Pengangkutan dalam isu ini amat tepat.

“Pesalah jalan raya, terutamanya pemandu mabuk dan khayal dadah, tidak boleh dibiarkan terlepas sekadar dengan hukuman penjara dan denda, sebaliknya wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya secara kewangan demi membela nasib waris mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top