Miami: Jude Bellingham mencipta sejarah baharu buat bola sepak England apabila menjadi pemain pertama negara itu yang berjaya menjaringkan tujuh gol dalam satu edisi Piala Dunia.
Pemain tengah Real Madrid itu melakar pencapaian luar biasa tersebut menerusi jaringan lewat ketika membantu England menewaskan Perancis 6-4 dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026.
Sebelum jaringan itu, Bellingham berkongsi rekod enam gol bersama legenda England, Gary Lineker yang mencipta jumlah sama ketika Piala Dunia Mexico 1986, selain rakan sepasukan, Harry Kane yang menjaringkan enam gol pada edisi 2018 di Rusia dan kejohanan kali ini.
Bellingham, 23, dimasukkan pada minit ke-79 sebelum mencipta detik istimewa menerusi jaringan terakhir perlawanan.
Dia memulakan gerakan serangan balas dari garisan tengah sebelum melepasi pertahanan Perancis dan menyudahkan rembatan ke penjuru bawah gawang untuk melengkapkan kemenangan England.
Bekas pemain tengah England, Danny Murphy memuji keyakinan tinggi Bellingham yang dianggap antara pemain paling menyerlah dalam skuad kendalian Thomas Tuchel.
“Dia mempunyai keyakinan terhadap kemampuan sendiri. Kesabaran, kemahiran dan penyudah itu. Sungguh hebat gol daripada pemain terbaik England,” katanya menerusi BBC One.
Menariknya, Bellingham turut menunjukkan sikap berpasukan ketika England diberikan sepakan penalti pada minit ke-87.
Walaupun dia dilihat bersedia mengambil sepakan itu, pemain berusia 23 tahun tersebut menyerahkan tanggungjawab kepada Bukayo Saka yang melengkapkan hatrik.
Saka menjelaskan Bellingham tidak pernah berniat mengambil sepakan penalti itu dan menjadi individu pertama yang menggalakkan dirinya mendapatkan gol ketiga.
“Tidak, Jude tidak pernah mengambilnya. Dia adalah orang pertama yang berkata pergi dan dapatkan hatrik kamu. Jadi tiada siapa datang untuk mengganggu saya. Saya memang akan mengambilnya,” kata Saka.
Kejayaan itu melengkapkan kempen mengagumkan Bellingham di Piala Dunia 2026 apabila dia bukan sahaja membantu England menamatkan saingan di tempat ketiga, malah mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain paling berpengaruh di pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




