Olise pecah rekod Pele, cipta sejarah bantuan gol Piala Dunia

Olise pecah rekod Pele, cipta sejarah bantuan gol Piala Dunia

Miami: Bintang tengah Perancis, Michael Olise mencipta sejarah baharu Piala Dunia apabila memecahkan rekod bantuan gol paling banyak dalam satu edisi kejohanan yang sebelum ini dipegang legenda Brazil, Pelé sejak 1970.

Pemain berusia 28 tahun itu tampil cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia 2026 apabila menjadi antara nadi penting dalam jentera serangan Perancis, sekali gus mengukuhkan namanya sebagai salah seorang pencipta peluang terbaik kejohanan kali ini.

Olise mencatat tujuh bantuan gol dalam satu edisi Piala Dunia selepas dua hantaran cantiknya berjaya disudahkan Kylian Mbappe dalam aksi terdahulu.

Jumlah itu menyaksikan pemain sayap Bayern Munich berkenaan meleburkan rekod enam bantuan gol milik Pelé ketika membantu Brazil menjulang trofi Piala Dunia 1970 di Mexico.

Rekod yang bertahan selama 56 tahun itu sebelum ini dianggap sebagai salah satu pencapaian sukar untuk diatasi, terutama dalam kejohanan yang menyaksikan pemain berdepan tekanan tinggi di pentas terbesar dunia.

Namun, kecemerlangan Olise dalam mencipta peluang membolehkan namanya terpahat dalam sejarah sebagai pemain dengan bantuan gol terbanyak dalam satu edisi Piala Dunia.

Walaupun begitu, Olise masih belum memegang rekod bantuan gol keseluruhan sepanjang sejarah Piala Dunia apabila ketinggalan lima bantuan di belakang kapten Argentina, Lionel Messi.

Melihat kepada usianya yang masih berada pada tahap terbaik dan berpotensi beraksi pada Piala Dunia 2030, Olise dilihat mempunyai peluang untuk terus mengejar rekod legenda Argentina itu.

Selain statistik menakjubkan, keserasian Olise bersama Mbappe turut menjadi antara cerita menarik sepanjang kejohanan.

Kerjasama kedua-dua pemain itu menghasilkan kombinasi serangan berbahaya buat Perancis, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat mengenai kemungkinan gandingan mereka diteruskan di peringkat kelab.

Dengan masa depan Olise yang masih menjadi perhatian, tidak hairan jika peminat Real Madrid mula membayangkan gandingan Mbappe dan Olise digabungkan di Santiago Bernabeu pada masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top