Piala Dunia 2026: Penyokong bola sepak bimbang Donald Trump 'buat hal' di pentas final

Piala Dunia 2026: Penyokong bola sepak bimbang Donald Trump 'buat hal' di pentas final

Bedminster: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bakal menjadi antara perhatian utama pada perlawanan akhir Piala Dunia 2026 apabila dijangka menyerahkan trofi kepada juara baharu bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino di New Jersey, awal pagi esok.

Aksi final antara Sepanyol dan Argentina di Stadium MetLife itu menjadi penampilan pertama Trump menyaksikan perlawanan Piala Dunia secara langsung, namun penglibatannya dalam kejohanan kali ini sudah mencetuskan pelbagai reaksi selepas beberapa episod kontroversi.

Trump sebelum ini menjadi perhatian dunia apabila dilaporkan menghubungi Infantino bagi meminta FIFA menangguhkan penggantungan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun selepas dilayangkan kad merah dalam aksi menentang Bosnia Herzegovina.

Campur tangan itu mencetuskan persoalan mengenai isu keadilan dan pengaruh politik dalam bola sepak, terutama selepas Balogun akhirnya dibenarkan beraksi menentang Belgium pada pusingan kalah mati.

Namun, Trump tetap menyifatkan Piala Dunia 2026 sebagai kejohanan paling berjaya pernah dianjurkan.

“Ini adalah acara sukan paling berjaya mungkin dalam sejarah dunia. Ia sangat menakjubkan,” kata Trump ketika menghadiri majlis FIFA bersama Infantino di Trump Tower, New York, Jumaat lalu.

Beliau turut mendakwa kejohanan kali ini membantu meningkatkan populariti bola sepak di AS yang selama ini lebih dikuasai sukan seperti NFL, besbol dan bola keranjang.

“Ia membuktikan kita sebenarnya sebuah negara bola sepak dan saya fikir ia akan kekal begitu,” katanya.

Trump turut mendedahkan anaknya, Barron yang berusia 20 tahun merupakan peminat tegar bola sepak dan dijangka hadir ke final bersama ibu negara itu, Melania Trump serta bapa Melania, Viktor Knavs.

Final jadi medan diplomasi

Selain perebutan trofi antara Argentina dan Sepanyol, perlawanan akhir itu turut dijangka menjadi pentas pertemuan beberapa pemimpin dunia.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez serta keluarga diraja Sepanyol akan hadir walaupun hubungan Madrid dan Washington sebelum ini tegang susulan beberapa isu termasuk perbelanjaan pertahanan NATO.

Pemimpin negara tuan rumah bersama, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney juga dijangka berada di Stadium MetLife.

Pertemuan itu hadir ketika hubungan AS dengan kedua-dua negara jiran masih berdepan ketegangan berkaitan isu perdagangan, tarif serta dasar imigresen.

Trump sebelum ini turut mengancam mengenakan tarif baharu terhadap Kanada selepas asap kebakaran hutan dari negara itu menjejaskan kualiti udara di kawasan timur laut AS menjelang final.

Hubungan rapat Trump Infantino

Walaupun tumpuan utama sepatutnya kepada aksi Argentina menentang Sepanyol, Trump dijangka terus menjadi perhatian ketika berada di pentas final.

Sejak kembali ke Rumah Putih pada 2025, Trump sering mengaitkan dirinya dengan kejayaan AS menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 serta penganjuran Olimpik Los Angeles 2028.

Beliau juga beberapa kali menyatakan peranan dirinya dalam membawa dua acara sukan terbesar dunia itu ke AS.

“Saya sepatutnya tidak berada di sini sekarang, saya sepatutnya menjadi presiden selama lapan tahun… mereka menipu pilihan raya dan apa yang saya dapat? Saya dapat Piala Dunia, saya dapat Olimpik,” katanya.

Trump turut mencetuskan perhatian apabila secara berseloroh mencadangkan AS menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia akan datang dengan China, sambil berkata kali ini Mexico dan Kanada tidak perlu terlibat.

Malah, beliau sebelum ini turut mengulas mengenai taktikal England ketika tewas kepada Argentina dalam separuh akhir serta mengkritik keputusan jurulatih Thomas Tuchel menggunakan pendekatan bertahan selepas mendahului.

Perhatian juga tertumpu kepada tindakan Trump ketika majlis penyampaian trofi selepas ini selepas insiden pada Piala Dunia Kelab tahun lalu apabila beliau kekal berada di pentas ketika pemain Chelsea meraikan kemenangan sehingga menyebabkan keadaan sedikit janggal.

Dengan lebih 80,000 penyokong dijangka memenuhi Stadium MetLife, final Piala Dunia 2026 bukan sahaja menjadi pertarungan Argentina dan Sepanyol, tetapi turut menjadi pentas besar yang menyaksikan kehadiran salah seorang pemimpin paling kontroversi dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top