Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya melabel Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘toksik’ kerana Pas merupakan antara parti yang pernah menyokong pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
Hamzah berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu seharusnya mengingati jasa baik Pas yang membantu membolehkan beliau memegang jawatan tertinggi negara suatu ketika dahulu.
“Macam mana dia boleh kata toksik? Tan Sri Muhyiddin tidak boleh menjadi Perdana Menteri tanpa UMNO dan beliau juga tidak boleh menjadi Perdana Menteri tanpa Pas.
“Maka janganlah menuduh orang toksik dan sebagainya. Kita kena ingat sejarah bagaimana orang luar atau parti lain membantu kita sehingga kita boleh menjadi Perdana Menteri. Sebab itu saya tidak mahu menuduh sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan Ampangan serta kepimpinan PN dan BN di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan mendakwa PN kini sudah menjadi toksik dan terpesong daripada perjuangan di bawah pimpinan PAS.
Artikel lain: Jangan salah guna kedudukan! Letak jawatan jika serang rakan Kerajaan Persekutuan dalam PRN – Anwar
Bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa PAS membuat tuduhan tidak benar berserta fitnah terhadap kepimpinan Bersatu sebagai usaha untuk meminggirkan parti berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata PN bukanlah hak mutlak Bersatu sebaliknya penubuhan gabungan itu didokong oleh pelbagai pihak.
“Bermulanya PN ini, hari ini saya nak maklumkan nama PN itu sebenarnya datangnya daripada saya dan dua orang lagi sahabat saya ketika itu Perdana Menterinya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerjasama antara parti dalam PN perlu dilihat sebagai usaha membina kekuatan politik termasuk di peringkat negeri, bukannya melalui pertelingkahan atau tuduhan sesama sendiri.
“Sebab itu saya tidak mahu menuduh sesiapa. Saya tidak mahu mengata sesiapa. Yang pastinya, kepentingan kita adalah untuk mengembalikan kerajaan ini di bawah satu kumpulan yang lebih kuat.
“Cuba kita lihat, hari ini kumpulan itu dapat bergabung bukan hanya di Johor, tetapi juga di negeri-negeri lain,”ujar beliau.
Hamzah berkata, mana-mana pihak boleh mengambil alih kerajaan tanpa perlu menggunakan pendekatan saling menuduh antara satu sama lain.
“Walaupun dia cakap toksik, bagi saya itu adalah satu kenyataan yang tidak benar,” katanya.
Sumber: Sinar Harian




