London: Legenda Liverpool, Newcastle United dan England, Kevin Keegan meninggal dunia pada usia 75 tahun selepas bertarung dengan kanser, umum keluarganya hari ini.
Keegan, yang dianggap antara pemain terbaik generasinya, disahkan menghidap kanser tahap empat dan menjalani rawatan pada Januari lalu.
“Dengan penuh dukacita kami mengumumkan bahawa Kevin Keegan telah meninggal dunia pada usia 75 tahun.
“Bekas pemain dan pengurus England itu menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung dengan kanser, dikelilingi isteri serta anak-anak perempuannya pada saat-saat akhir,” menurut kenyataan keluarganya.
Keegan yang dikenali dengan gelaran “Mighty Mouse” muncul sebagai antara penyerang paling digeruni selepas memulakan karier bersama Scunthorpe sebelum mencipta nama bersama Liverpool.
Sepanjang enam musim di Anfield, dia membantu Liverpool menjulang tiga gelaran Liga Divisyen Satu England, Piala FA 1974 dan Piala Eropah 1977 sebelum berhijrah ke kelab Jerman, Hamburg.
Bersama Hamburg, Keegan menjulang kejuaraan Bundesliga pada 1979 dan membantu kelab itu mara ke final Piala Eropah setahun kemudian.
Bekas kapten England itu yang menjaringkan 21 gol dalam 63 penampilan bersama skuad kebangsaan turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Eropah (Ballon d’Or) pada 1978 dan 1979.
Keegan kembali ke England bersama Southampton sebelum mengakhiri kariernya di Newcastle United pada 1984 selepas membantu kelab itu kembali ke divisyen utama.
Newcastle dalam satu kenyataan menyifatkan pemergian Keegan sebagai kehilangan besar buat kelab.
“Kami amat sedih menerima berita pemergian Kevin Keegan, antara tokoh paling ikonik, berpengaruh dan paling disayangi dalam sejarah kelab.
“Kevin bukan sekadar legenda sebagai pemain dan pengurus, malah beliau adalah nadi Newcastle United untuk beberapa generasi penyokong.
“Sebagai pemain, beliau membawa bakat bertaraf dunia, cita-cita dan keyakinan ke St James’ Park sehingga mengubah persepsi terhadap Newcastle United.
“Sebagai pengurus, beliau membangkitkan semangat seluruh bandar. Kevin memberikan harapan dan kebanggaan kepada penyokong serta membentuk pasukan yang memikat peminat bola sepak di seluruh dunia menerusi corak permainan, semangat dan keghairahannya. Beliau jauh lebih daripada sekadar seorang penghibur,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




