PRN N9: Manifesto PH pelan tindakan realistik – Aminuddin

PRN N9: Manifesto PH pelan tindakan realistik – Aminuddin

am@hmetro.com.my

Seremban: Pakatan Harapan (PH) menegaskan manifesto yang ditawarkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini adalah pelan tindakan realistik dan mampu dilaksanakan sepenuhnya.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata gabungan itu mengutamakan aspek pelaksanaan berbanding retorik politik demi memastikan kebajikan seluruh sektor dan golongan rakyat di negeri ini terus terbela.

Beliau berkata, komitmen itu sudah dibuktikan melalui rekod prestasi pentadbiran sepanjang lapan tahun lalu iaitu hampir kesemua tawaran sebelum ini berjaya ditunaikan.

“Bagi saya yang paling penting, manifesto ini mampu dilaksanakan, bukan hanya janji. Kita tak perlu berjanji tetapi pelaksanaan adalah keutamaan bagi kami.

“Kami sudah buktikan lapan tahun kami melaksanakan manifesto-manifesto, melainkan yang membabitkan undang-undang yang tidak diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut mengenai kegagalan pelaksanaan sebahagian kecil manifesto lalu, Aminuddin mengambil contoh cadangan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal yang terpaksa digugurkan akibat kekangan politik sebelum ini.

“Contohnya, hanya dua penggal untuk Menteri Besar. Ditolak awal oleh UMNO dulu. Jadi itu yang kita tak boleh laksanakan.

“Selain daripada itu, kita dapat laksanakan. Itu antara bukannya janji, tapi pelaksanaan dan manifesto sedia ada juga sentiasa terbuka untuk ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut menggesa semua calon PH bertanding menjadikan manifesto berkenaan sebagai senjata utama kempen, berbanding melayan provokasi atau retorik kosong.

Katanya, setiap calon disaran memahami intipati tawaran berkenaan secara mendalam agar ia dapat disampaikan dengan berkesan kepada pengundi.

“Saya akan pastikan mereka (calon) hari-hari baca, faham, sampaikan kepada rakyat apa yang ingin kita buat.

“Bukannya kita buat fitnah, kita bergaduh, kita menyampaikan perkara yang tak perlu. Yang rakyat inginkan adalah sebuah manifesto yang boleh dilaksanakan dan saya yakin kami mampu laksanakan berdasarkan track record yang ada,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Aminuddin berkata, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebaliknya, beliau menegaskan, ia adalah pilihan mengenai hala tuju negeri ini, sama ada mahu meneruskan sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan mempunyai perancangan yang jelas atau kembali kepada politik yang sentiasa berubah mengikut percaturan kuasa.

“Rakyat tidak mahu politik yang memecah-belahkan, sebaliknya yang menyatukan.

“Rakyat juga mahu pemimpin yang boleh menunaikan amanah, bukan yang hanya pandai berjanji.

“Rakyat tidak mahu sekadar mendengar mengenai harapan, sebaliknya mahu melihat harapan itu diterjemah menjadi peluang pekerjaan, pendidikan lebih baik, kehidupan lebih jelas, iaitu lebih sejahtera dan masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top