am@hmetro.com.my
Seremban: Pakatan Harapan (PH) menggariskan 10 komitmen utama menerusi manifesto bertema ‘Kekal Harapan’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Pelancaran manifesto disempurnakan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke dan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Komitmen berkenaan meliputi Mengekalkan Kerajaan Stabil, Bersih dan Mesra Rakyat; Memperkasa Skim Sejahtera Rakyat (SSR), Ekonomi Berdaya Saing dan Mewujudkan 30,000 Peluang Pekerjaan Bergaji Tinggi; Pendidikan Berkualti Untuk Semua serta Membina 20,000 Rumah Mampu Milik dan Penyelesaian Isu Tanah.
Selain itu, Belia, Wanita dan Keluarga Diberi Keutamaan; Pembangunan Pelancongan dan Warisan Adat, Kemajuan Seimbang Bandar dan Luar Bandar serta FELDA; Pertanian Moden dan Keterjaminan Makanan; Infrastruktur Strategik dan Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti serta Perpaduan Agama, Keharmonian dan Kemajuan untuk Semua.
Sepanjang mentadbir Negeri Sembilan, PH membuktikan kerajaan yang stabil mampu membawa kemajuan yang nyata.
“Negeri Sembilan berjaya mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu, memperkukuh jaringan kebajikan rakyat, memperkasa institusi pendidikan, memperluas pembangunan infrastruktur dan mengekalkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh.
“PH komited untuk meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan yang stabil, progresif dan inklusif.
“Manifesto ini berpaksikan keperluan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang mampan, peluang pekerjaan berkualiti, kebajikan yang menyeluruh dan pembangunan yang seimbang untuk seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Pada masa sama, PH menyatakan komitmen untuk menyemarakkan syiar Islam sebagai agama Persekutuan, memperkukuh institusi Islam negeri, memperkasa pembangunan ummah dan mempertahan keharmonian masyarakat majmuk, kebebasan beragama dan perpaduan rakyat seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




