Aksi bogel atas bumbung bawa padah

Aksi bogel atas bumbung bawa padah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun ditahan selepas dipercayai berjalan dalam keadaan bogel di atas bumbung sebuah rumah di kawasan perumahan Taman Andalas Jaya, Klang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian itu disedari orang awam kira-kira 7 pagi sebelum pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil bagi membantu menurunkan suspek dengan selamat.

“Suspek kemudian ditahan untuk membantu siasatan dan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana perbuatan kelucahan melampau.

“Lelaki itu juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 377D Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Katanya, kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pula membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video kejadian di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top