Trump umum tarif baharu 50 peratus ke atas Kanada, cetus risiko perang perdagangan

Trump umum tarif baharu 50 peratus ke atas Kanada, cetus risiko perang perdagangan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif baharu sebanyak 50 peratus ke atas beberapa barangan dari Kanada.

Menurut laporan CNN, langkah itu mencetuskan kebimbangan perang perdagangan antara kedua-dua negara yang merupakan sekutu rapat serta rakan dagang utama.

Tarif berkenaan dikenakan terhadap beberapa produk tertentu dari Kanada, termasuk peralatan elektrik dan jentera, dan disifatkan antara kadar tarif paling tinggi pernah dikenakan pentadbiran Trump ke atas mana-mana negara.

Sebelum ini, Trump pernah mengancam untuk mengenakan tarif terhadap Kanada sebagai tindak balas terhadap asap kebakaran hutan yang menyelubungi kawasan utara AS.

Bagaimanapun, pegawai pentadbiran AS menjelaskan pelaksanaan tarif terbaharu itu tidak mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.

Rumah Putih memaklumkan tarif itu akan mula berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari dan melibatkan kira-kira AS$20 bilion (RM81.3 bilion) nilai barangan import dari Kanada.

Perdana Menteri Ontario, Doug Ford, segera menggesa Kanada mengambil tindakan balas sekiranya tarif itu diteruskan.

Beliau berkata, Kanada perlu membalas tindakan Washington dengan mengenakan tarif pada kadar yang sama.

“Jika tarif ini diteruskan, Kanada harus bertindak balas dengan tarif dibalas tarif, dolar dibalas dolar,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Dalam pengumuman itu, Trump berkata, pelaksanaan tarif dibuat di bawah Seksyen 338 Akta Tarif 1930, iaitu undang-undang yang membolehkan Presiden AS mengenakan tarif sehingga 50 peratus terhadap negara yang didakwa mendiskriminasi barangan keluaran Amerika.

Bagaimanapun, peruntukan undang-undang itu dilaporkan tidak pernah digunakan sebelum ini bagi tujuan sedemikian.

 

Scroll to Top