Tindakan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ membangkitkan isu Melayu, Islam disifatkan lebih kepada usaha mengembalikan pengaruh politiknya selepas kembali menyertai UMNO.
PH juga ada pemimpin Melayu-Islam
Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, KJ telah lama meninggalkan UMNO dan kini sedang berusaha membina semula kedudukannya dalam arena politik.
“Dia keluar (UMNO) agak lama dan mahu memulakan semula asas politiknya.
“Jadi, dia akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang dirasakan perlu supaya keberadaannya dapat dilihat oleh orang ramai,” katanya di Felda Palong 2 bersama calon PH, G. Manivanan, pada Isnin.
Sebelum ini, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai satu isyarat jelas kepada PH.
Menurutnya, terdapat segelintir ahli parti yang berpandangan kerajaan Persekutuan kurang memberi perhatian terhadap sensitiviti masyarakat Melayu selain masih gagal menunaikan beberapa janji yang pernah dibuat.
Mengulas lanjut, Fahmi turut menepis dakwaan bahawa PH tidak mempunyai pemimpin Melayu-Islam yang memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa.

Artikel lain: PRN Johor: Hubungan PH-BN tetap utuh, tak jejaskan kerjasama Kerajaan Persekutuan – Fahmi Fadzil
Beliau sebaliknya mengingatkan KJ supaya tidak keterlaluan atau terlalu taksub dengan naratif tertentu sehingga seolah-olah menafikan kewujudan pemimpin Melayu-Islam dalam gabungan itu.
“Anwar Ibrahim itu bukan Melayu-Islam? Mohamad Sabu bukan Melayu-Islam? Dzulkefly Ahmad bukan Melayu-Islam? Amirudin Shari, Aminuddin Harun bukan Melayu-Islam?
“Saya rasa hentikanlah bermain dengan kepalsuan ini. Ingat, sebagai seorang Muslim, setiap perkara yang kita katakan sekiranya dusta maka ada balasan di akhirat,” tegurnya.
Sumber: Sinar Harian (Norafidah Assan)




