'Kita ada 56 balai, takkan ketua balai tidak tahu berapa ramai penagih di kawasan mereka?' – KP Kelantan

'Kita ada 56 balai, takkan ketua balai tidak tahu berapa ramai penagih di kawasan mereka?' – KP Kelantan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan memperkenalkan pelan strategi baharu dalam usaha mengekang pengedaran dadah di negeri ini termasuk setiap ketua balai perlu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bermula 15 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pelan strategi itu dilakukan lebih menyeluruh membabitkan semua peringkat.

Katanya, mana-mana pegawai dan anggota polis yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan akan dikenakan tindakan.

“Menerusi pelan strategi ini, ketua balai polis memberi fokus kepada tangkapan penagih dadah. Manakala di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pula, tugas membabitkan tangkapan pengedar serta tokan.

“Manakala di peringkat IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen), fokus membabitkan yang lebih besar seperti pembekal dadah.

“Kita mempunyai 56 balai, takkan ketua balai tidak tahu berapa ramai penagih di kawasan mereka? Jika dia tidak tahu, dia bukan seorang ketua balai dan tidak bekerja. Setiap hari mereka perlu memainkan peranan dan tahan seorang penagih.

“Kita akan melihat keberkesanan pelan strategi ini dalam masa tiga bulan iaitu Oktober nanti. Saya yakin dengan kaedah ini, pengedar dadah akan takut dan lari,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, tadi.

Mengulas lanjut katanya, jika sebelum ini sasaran tangkapan penagih di Kelantan adalah 85 orang sehari dan pendekatan itu dilihat kurang berkesan.

“Pendekatan sebelum ini menyebabkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di peringkat IPK berdepan kekangan masa untuk menjalankan risikan.

“Jadi menerusi kaedah baru ini yang lebih fokus dan bersasar bagi setiap peringkat, IPK ada masa untuk menjalankan risikan bagi mengesan pembekal dadah.

“Ini jihad saya dan sekiranya isu dadah ini selesai, maka kes jenayah lain juga akan dapat ditangani,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top