Ancaman pukat hantu masih 'menggila'

Ancaman pukat hantu masih 'menggila'

am@hmetro.com.my

Kuantan: Jabatan Perikanan Pahang dengan kerjasama komuniti Pulau Tioman berjaya memindahkan lebih 500 kilogram (kg) pukat hantu yang tersangkut pada terumbu karang di kawasan dasar Pulau Tulai, Pulau Tioman.

Operasi membersihkan pukat hantu di dasar laut disertai seramai 30 penyelam profesional membabitkan kakitangan Jabatan Perikanan

Pahang, Reef Check Malaysia, Tioman Marine Conservation Group (TMCG) dan komuniti Pulau Tioman yang sentiasa peka dengan ancaman pukat hantu di kawasan perairan pulau peranginan itu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, pihaknya bertuah dikelilingi individu yang sentiasa mengambil berat terhadap ancaman pukat hantu di kawasan Pulau Tioman termasuk di perairan Kuantan.

Menurutnya, hampir setiap tahun operasi memindahkan pukat hantu dilakukan pihaknya dengan kerjasama penyelam profesional selain dibantu komuniti setempat.

“Penyelam yang bertemu dengan pukat hantu ketika mengadakan aktiviti menyelam akan memaklumkan kepada Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan sebelum tindakan dilakukan.

“Operasi kali ini berjaya memindahkan lebih 500 kg pukat hantu yang tersangkut pada batu karang di kawasan Pulau Tulai. Pukat hantu berkenaan dipercayai ditinggalkan oleh nelayan bot pukat tunda selepas aktiviti mereka menangkap ikan dalam kawasan larangan dikesan bot bahagian penguatkuasa jabatan.

“Sebarang aktiviti menangkap ikan dalam kawasan Taman Laut Pulau Tioman tidak dibenarkan sama sekali bagi mengelak kerosakan pada terumbu karang selain mengancam hidupan marin seperti ikan dan penyu apabila tersangkut pada pukat hantu,” katanya semalam.

Beliau menambah, ancaman pukat hantu pada terumbu karang diambil perhatian serius oleh jabatan kerana ia boleh merosakkan ekosistem seterusnya menjejaskan produk pelancongan milik Pulau Tioman yang terkenal dikalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Roslan berkata, jabatan sentiasa mengingatkan nelayan tempatan supaya tidak bertindak melupuskan pukat lama yang tidak digunakan

di laut kerana boleh menjejaskan ekosistem marin, pukat lama perlu dilupuskan di lokasi pelupusan yang diluluskan pihak berkuasa.

Menurutnya, minggu lalu seramai 12 penyelam profesional termasuk tiga wanita berjaya mengumpul lebih 100 kg pukat hantu yang tersangkut pada bot tunda yang karam di perairan Kuantan dekat Tanjung Gelang.

Pada Mei lalu Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perikanan Pahang bertindak tegas dengan menahan dua vesel pukat tunda zon C yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan Taman Laut dekat Kampung Juara, Pulau Tioman.

Dua vesel tempatan yang berdaftar di Johor itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan masing-masing pada 2.30 dan 3.15 pagi dalam kawasan taman laut dekat Kampung Juara.

Kedua-dua vesel disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika bagi vesel Zon C.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top