am@hmetro.com.my
Balik Pulau: Sembilan lelaki warga China mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan berpakat melakukan jenayah membabitkan sindiket penipuan dalam talian ‘love scam’ awal bulan ini.
Tertuduh, Ye Binyu, 32; Yang Jie, 34, ; Xiang Hanghang, 33, ; Lin Zhixu, 30, ; Zhang Peng, 30; Huang Shihong, 31 ; Tan Qiao, 22; Tan Bo, 26, ; Li Mingrui, 27 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjadi pihak kepada suatu pakatan jenayah dengan bersetuju melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang bagi memperdayakan mangsa menerusi sindiket ‘Love Scam’.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Muze PICC Condominium, Persiaran Mahsuri, Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas kira-kira jam 6.10 petang pada 1 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi Zulkifli dan Muhammad Sofi Jaafar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Luthfillah Hadi Ahmad.
Semasa prosiding, Ikmal menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia bagi setiap tertuduh.
Beliau turut memohon kesemua tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sementara itu, Ahmad Luthfillah dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan kadar jaminan minimum selain memaklumkan kesemua tertuduh masuk ke negara ini sebagai pelancong.
“Saya memohon jumlah jaminan minimum diberikan kepada tertuduh kerana mereka tidak mempunyai keluarga di sini untuk membantu membayar jaminan dan pendapatan di China juga tidak seberapa.
“Kesemua anak guam mempunyai pekerjaan tetap di China dengan lingkungan pendapatan di negara asal RMB3,000 hingga RMB5,000 atau sekitar RM1,800 hingga RM3,000,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Sungai Nibong pada setiap hari Khamis serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd



