am@hmetro.com.my
Keningau : Kegiatan pasangan suami isteri yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah terbongkar selepas mereka ditahan bersama tujuh paket syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kiawayan, Tambunan, semalam.
Pasangan masing-masing berusia 33 dan 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat berkaitan kegiatan dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, sebaik tiba, pasukan polis mendapati pintu rumah berkunci sebelum bertindak memecahkan kunci dan pintu untuk masuk.
“Hasil pemeriksaan menemukan tujuh paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 7.27 gram.
“Dadah berkenaan ditemukan di dalam beg kecil berwarna hitam yang diletakkan di atas meja kecil di dalam bilik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, dadah dirampas dianggarkan bernilai RM800 manakala kedua-dua suspek dibawa ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian serta sumber bekalan dadah pasangan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




