Lelaki 29 tahun dituduh lakukan amang seksual terhadap kekasih 14 tahun

Lelaki 29 tahun dituduh lakukan amang seksual terhadap kekasih 14 tahun

am@hmetro.com.my

Tawau: Seorang pekerja pemasang penyaman udara dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kekasihnya di sebuah bilik sewa, pada 9 Julai lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas menerima pengakuan bersalah Mansur Sudin, 29, sebelum mensabitkannya atas pertuduhan dihadapi.

Mengikut pertuduhan, lelaki warga Indonesia tanpa dokumen pengenalan diri itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang juga kekasihnya berusia 14 tahun dua bulan dengan maksud seksual di sebuah bilik sewa di sebuah kampung di sini, kira-kira jam 1 pagi, 9 Julai lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa menemui anak perempuannya bersama tertuduh di dalam bilik sewa berkenaan selepas menyedari mangsa tiada di rumah.

Laporan pemeriksaan awal pegawai perubatan bagaimanapun mendapati tiada koyakan pada selaput dara (hymen) mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menjadi penanggung utama keluarga, termasuk menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan setimpal dengan mengambil kira keseriusan jenayah serta kepentingan awam.

Beliau berhujah jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah kesalahan serius yang memerlukan hukuman tegas sebagai pengajaran, selain melindungi kanak-kanak dan mencegah kejadian sama daripada berulang.

Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh dipenjara mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selain memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia sebaik selesai menjalani hukuman penjara untuk tindakan pengusiran ke negara asal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top