Peguam dakwa keputusan arah inkues kes tembak Durian Tunggal sebagai kegagalan AGC

Peguam dakwa keputusan arah inkues kes tembak Durian Tunggal sebagai kegagalan AGC

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peguam kepada keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal tahun lalu, menyifatkan keputusan Peguam Negara (AGC) untuk mengarahkan satu inkues berhubung insiden tembakan itu sebagai satu bentuk kegagalan melaksanakan tanggungjawab mahupun untuk memberikan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Ini berikutan keputusan AGC sendiri yang sebelum ini mengarahkan supaya kes ini disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada awal tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam keluarga, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal, menyifatkan keputusan itu sebagai kegagalan AGC melaksanakan tanggungjawab perlembagaan untuk membuat keputusan pendakwaan.

“Kes berkenaan sebelum ini telah diarahkan untuk disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk merakam kenyataan daripada puluhan saksi selain kertas siasatan yang telah diteliti beberapa kali.

“Mereka mendakwa inkues hanya diperlukan sekiranya terdapat keraguan serius atau kekurangan bukti mengenai punca kematian, namun berpendapat keadaan itu tidak wujud dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peguam berkenaan turut mendakwa terdapat rakaman audio dan laporan bedah siasat yang, menurut mereka, menunjukkan mangsa ditangkap hidup-hidup sebelum ditembak, sekali gus bercanggah dengan dakwaan polis bahawa anggota terbabit bertindak mempertahankan diri.

“Mereka juga mendakwa laporan bedah siasat yang disediakan pakar patologi kerajaan menunjukkan sudut kemasukan peluru tidak selari dengan dakwaan bahawa tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri.

“Sehubungan itu, pertuduhan membunuh sepatutnya difailkan terhadap anggota polis yang terbabit dan bukannya merujuk kes itu kepada prosiding inkues,” katanya.

Katanya, kelewatan membuat keputusan pendakwaan hanya akan menjejaskan usaha mendapatkan keadilan serta menimbulkan persepsi berhubung layanan berbeza dalam sistem keadilan jenayah.

“Kuasa pendakwaan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan terletak secara eksklusif kepada AGC dan tidak boleh dipindahkan kepada Koroner,” katanya.

Pada masa sama, kedua-dua peguam itu menggesa AGC membuat keputusan untuk mendakwa jika bukti mencukupi atau melepaskan jawatan sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Mereka turut mendesak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya AGC gagal memenuhi amanah perlembagaan, sambil menegaskan keluarga mangsa akan terus menuntut keadilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top