Hadie Elfardie sanggup diet, 'potong' gula demi vokal

Hadie Elfardie sanggup diet, 'potong' gula demi vokal

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penampilan penyanyi, Hadie Elfardie yang kelihatan jauh lebih kurus berbanding pada awal kemunculannya dalam industri seni menimbulkan tanda tanya.

Hadie, 18, juga anak sulung kepada Allahyarham Suhaimi Saad dan Ina Naim bagaimanapun mendedahkan dia mengamalkan disiplin ketat dengan ‘memotong’ terus pengambilan gula dalam diet harian sejak hampir setahun lalu demi menjaga kualiti vokalnya.

Hadie atau pemilik nama, Ehmad Hadie Elfardie Suhaimi memaklumkan dia sanggup berkorban demi memastikan kotak suaranya berada dalam keadaan terbaik dan sentiasa bersedia untuk sebarang persembahan pentas.

“Saya ambil keputusan potong pengambilan gula memandangkan suara saya pantang terkena ais batu atau makanan manis seperti gula-gula dan coklat.

“Jadual makan saya pun memang tidak menentu memandangkan ada kalanya saya makan berat dan kadang-kala seharian tak lalu sentuh makanan langsung,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai corak pemakanannya yang cacamarba, Hadie mengakui ibunya kerap meluahkan rasa bimbang melihat perubahan fizikalnya itu.

“Ibu pun bimbang melihat keadaan saya dan sering suruh makan lebih sikit, tapi saya tak boleh paksa diri memandangkan perut lekas berasa penuh,” jelasnya.

Mengulas detik cemas yang membukakan matanya mengenai perubahan bentuk badan sendiri, Hadie mendedahkan dia pernah tersentak apabila merasakan penonjolan tulang di bahagian pinggang sewaktu sedang berbaring.

Perasaan terkejut itu membuatkannya nekad bangun serta-merta untuk bersenam pada awal pagi demi mendapatkan semula bentuk badan yang lebih ideal dan sihat.

“Masa tengah baring, saya terkejut bila pegang pinggang sendiri sebab rasa tulang makin menonjol. Perasaan itu memaksa saya bangun bersenam secara melulu pada jam tiga pagi semata-mata mahu dapatkan balik bentuk badan ideal,” katanya lagi.

Bagi Hadie, dia enggan mengamalkan diet saat-saat akhir sekiranya mendapat tawaran persembahan mengejut, sebaliknya memilih untuk sentiasa bersedia agar tidak mengecewakan penonton.

Dalam perkembangan lain, Hadie kini giat membuat persiapan bagi pelancaran lagu single berjudul Dusta Sebuah Cinta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top