‘Alhamdulillah, pengundi terima baik kerjasama dengan BN’ – Calon PN DUN Serting

‘Alhamdulillah, pengundi terima baik kerjasama dengan BN’ – Calon PN DUN Serting

JEMPOL – Perikatan Nasional (PN) meneruskan pendekatan memberi penerangan kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting terhadap kerjasama melibatkan Barisan Nasional (BN) di peringkat akar umbi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Calon PN bagi DUN Serting yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, beberapa program bersama UMNO/BN diadakan sebagai ruang mendekati pengundi serta memperjelas situasi semasa.

Menurutnya, setakat ini beliau melihat sambutan pengundi terhadap kempen yang dijalankan adalah baik menerusi pertemuan secara langsung bersama masyarakat.

“Alhamdulillah, saya telah bertemu dengan pengundi-pengundi di DUN Serting dan sambutan yang diterima adalah baik.

“Hubungan kami dengan UMNO/ BN juga berjalan dengan baik menerusi beberapa program yang diadakan sebagai pendekatan antara PN dan BN,” katanya ketika mengadakan riadah bersama anak muda di Dataran Seri Jempol di sini pada Selasa.

Mengulas penerimaan pengundi khususnya penyokong BN terhadap pencalonannya, Mohd Fairuz berkata, pihaknya terus memberikan penerangan mengenai perubahan wakil yang bertanding di kawasan berkenaan.

Katanya, terdapat pengundi yang sebelum ini menjangkakan BN akan bertanding di DUN Serting, namun perkara itu dijelaskan menerusi pendekatan bersemuka bersama mereka.

“Ramai yang menyatakan sebelum ini mereka menjangkakan BN, tetapi kali ini digantikan oleh PN. Jadi penerangan itu berjalan dan Alhamdulillah penerimaan daripada pengundi adalah baik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fairuz yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata, beliau akan terus memberi perhatian kepada isu pembangunan kawasan sekiranya diberi mandat meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.

Katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat pembangkang antara perkara yang diperjuangkan adalah berkaitan kemudahan asas terutama isu banjir.

“Alhamdulillah, beberapa kerja pemulihan infrastruktur telah dijalankan termasuk menaik taraf longkang yang sebelum ini menggunakan tanah kepada longkang konkrit selain kerja mendalamkan sungai dan tali air,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat meneruskan usaha menjadikan Serting dan Jempol sebagai hab pendidikan selain memperjuangkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Felda.

“Kita mengharapkan kerajaan akan datang dapat meneruskan usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Felda serta memberi perhatian kepada rumah generasi kedua dan ketiga Felda,” katanya.

 

Scroll to Top