Pemandu bas, lori kongsi detik cemas kemalangan di Menora

Pemandu bas, lori kongsi detik cemas kemalangan di Menora

Mohd Fadzil harisfadli@hmetro.com.my

Putrajaya: Pemandu, Ahmad Yasin Ab Malek, terharu apabila usahanya mengawal bas demi menyelamatkan 21 penumpang daripada kemalangan akibat masalah brek berhampiran Terowong Menora di Perak pada 15 Julai lalu mendapat penghargaan.

Ahmad Yasin, 40, berkata, sedikit sebanyak dia berasa terkilan membaca sebilangan kecil komen yang ditinggalkan warganet yang menyalahkan pemandu bas tanpa mengetahui kejadian sebenar.

“Selepas keluar dari terowong saya rasa bas tiada brek. Ketika itu saya tak boleh nak buat apa dah. Jadi saya tawakal sahaja, penuh tawakal kepada Allah SWT dan cuba cari jalan terbaik untuk kurangkan impak pelanggaran.

“Mujur ketika itu kelajuan kami sekitar 50 ke 60 kilometer sejam (km/j) sahaja, tetapi laluan itu agak menurun dan hanya ada dua lorong, lalu saya dari kiri segera masuk ke lorong kanan sebab saya nampak ada lebih banyak ruang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Anak kelahiran Pendang, Kedah itu ditemui selepas menerima sijil penghargaan dan sumbangan wang tunai RM1,000 daripada Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC) dalam satu majlis di Menara Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini, hari ini.

Turut hadir menerima sijil penghargaan dan sumbangan tunai ialah pemandu lori yang membantu Ahmad Yasin memberhentikan kenderaan dengan selamat, Wong Tuck Meng, 40.

Ahmad Yasin berkata, kemalangan adalah satu mimpi ngeri buat semua pemandu bas kerana mereka bertanggungjawab ke atas nyawa penumpang serta pengguna jalan raya lain.

Katanya, dengan kuasa tuhan dia bersyukur diberikan ketenangan untuk berfikir dengan jelas ketika insiden itu berlaku, sekali gus mengelak kecelakaan yang lebih serius.

“Saya rasa pemandu bas yang tidak bersalah, yang tidak mahu benda-benda tidak diingini berlaku, dapat penghargaanlah, ada rasa juga sedikit terharu.

“Ini kali pertama saya mengalami kemalangan teruk dalam sejarah hidup saya. Masa itu saya dah tak boleh buat apa-apa, jadi saya bertawakal sepenuhnya kepada Allah.

“Semua ini Allah yang selamatkan dan takdirkan lori itu ada di depan saya. Nasib baik saya tak terlalu panik,” katanya.

Menceritakan semula detik cemas itu, Ahmad Yasin berkata, sejurus menukar lorong dia melihat lori dipandu Wong beberapa meter di hadapan dan cuba sedaya upaya untuk mengawal bas itu daripada hilang kawalan.

“Ketika itu terlintas di fikiran untuk menggunakan pembahagi jalan bagi memperlahankan bas, tetapi saya risau pembahagi jalan itu tidak cukup kuat untuk menampung berat bas atau lebih teruk bas terbabas.

“Jadi saya buat keputusan untuk pandu ke arah lori di hadapan. Stereng masih berfungsi dengan baik dan saya pun cuba menghampiri lori dipandu Wong lalu melanggar bahagian belakang lori itu,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata impak pelanggaran berkenaan membuatkan dirinya tersentak ke hadapan dan selepas menyedari apa yang berlaku, tanpa berfikir panjang dia membunyikan hon sebagai amaran kepada kereta di hadapan bagi mengelak kemalangan lebih besar.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia berterima kasih atas segala penghargaan yang diberikan, namun tidak berniat untuk menjadi wira dan menegaskan sekadar menjalankan tanggungjawab kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan ketika diperlukan.

“Mula-mula saya ingat lori langgar saya sebab impak hentakan kuat. Saya tidak tahu bas yang langgar, malah saya tidak tahu tindakan saya berjaya menyelamatkan 21 penumpang. Saya hanya tahu keesokan hari selepas kawan-kawan beritahu.

“Selepas dia langgar saya cuba berhentikan kenderaan dengan segera. Saya rasa lebih kurang 50 meter baru kami dua-dua kenderaan berjaya berhenti sepenuhnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top