am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di puncak Bukit Maras, di sini, hari ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Nerus, Muhammad Al Fadil Mat Amin, berkata kejadian dilaporkan pada jam 6.48 petang.
Beliau berkata, mangsa, Nazli A Hamid, 53, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan untuk operasi membawa turun mangsa ke kaki bukit.
“Mayat mangsa dibawa turun menggunakan kenderaan utiliti ke kaki bukit dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




