Alunan kalam suci jadi amanah

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak pernah menganggap kemenangan itu pasti, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, 32, hanya mahu memberikan yang terbaik setiap kali mengalunkan ayat suci al-Quran.

Namun, rezeki menyebelahinya apabila qariah itu dinobatkan sebagai Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 yang berlangsung pada Ogos 2025.

Bagi Wan Sofea Aini, pengumuman namanya sebagai johan bukan sahaja mengejutkan, malah membuatkan dirinya sebak kerana tidak pernah menyangka usaha dan penampilannya pada pertandingan berkenaan berakhir dengan kemenangan.

Lebih bermakna pencapaian itu menjadi wadah buatnya mengharumkan nama Malaysia menerusi seni bacaan al-Quran di pentas antarabangsa.

“Saya sangat terkejut dan sebak apabila diumumkan sebagai johan. Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki daripada Allah SWT dan satu amanah yang perlu digalas untuk saya terus membawa kalam Allah dengan sebaik-baiknya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu dengan kemenangan ini. Sejujurnya saya tidak menyangka akan mendapat tempat pertama kerana bagi saya, semua peserta yang bertanding mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

“Saya hanya cuba memberikan yang terbaik dan menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT, namun tak sangka akan mendapat pengiktirafan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Wan Sofea Aini yang juga graduan Diploma Pengajian Islam (Dakwah) dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan peribadi sebaliknya peluang untuk mengangkat nama Malaysia melalui al-Quran.

Katanya, kejayaan itu juga mengingatkannya kepada nikmat kemerdekaan dikecapi negara yang membolehkan rakyat Malaysia menikmati keamanan, menuntut ilmu dan mengembangkan bakat masing-masing.

“Bagi saya, kejayaan sebagai qari atau qariah bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi peluang untuk mengangkat nama Malaysia melalui al-Quran.

“Saya bersyukur kerana dapat menggunakan nikmat ini dan peluang yang ada untuk melakukan sesuatu yang membawa manfaat kepada agama dan negara,” katanya.

Menurutnya, kejayaan di pentas antarabangsa bukan noktah dalam perjalanan mendalami ilmu al-Quran sebaliknya satu amanah untuk terus menyumbang kepada masyarakat menerusi bidang berkenaan.

“Insya-Allah, saya ingin terus mengembangkan usaha dalam bidang al-Quran khususnya melalui kelas One Quranic Academy yang saya jalankan bersama adik dan berharap kelas ini dapat diperluaskan supaya lebih ramai masyarakat khususnya golongan muda dan kanak-kanak mendapat peluang untuk belajar al-Quran dengan cara yang mudah dan sesuai dengan keperluan mereka.

“Pada masa sama, saya juga mahu terus memperbaiki dan mendalami ilmu al-Quran lagi supaya saya dapat menyumbang lebih banyak kepada masyarakat,” katanya yang menetap di Kuala Terengganu.

Ketika ditanya mengenai erti kemerdekaan, Wan Sofea Aini menyifatkannya sebagai nikmat besar yang dikurniakan Allah SWT kerana tanpa keamanan, peluang untuk menuntut ilmu, mengembangkan bakat dan mengejar kejayaan tidak dapat dinikmati.

“Bagi saya, kemerdekaan adalah satu nikmat dan amanah daripada Allah SWT. Kita bukan sahaja bebas daripada penjajahan tetapi diberi ruang untuk hidup dalam keamanan, menuntut ilmu, beribadah dan mengamalkan ajaran Islam.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mensyukuri nikmat kemerdekaan dengan menjaga perpaduan, keamanan dan menggunakan kebebasan yang ada untuk perkara yang membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Wan Sofea Aini turut berharap Malaysia terus berada dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT selain dikurniakan keamanan, perpaduan dan kepimpinan yang baik.

Katanya, generasi muda juga diharapkan bukan hanya cemerlang dalam bidang ilmu dan kerjaya tetapi dekat dengan al-Quran serta mempunyai akhlak yang baik dan terpuji.

“Nasihat saya kepada anak-anak muda, kejar kejayaan dunia tanpa meninggalkan bekalan untuk akhirat. Jadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan dan jangan mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top