NESCAFE bantu anak muda kembang kerjaya

syazrina@hmetro.com.my

Putrajaya: NESCAFÉ memperkenalkan ‘Projek Hidupkan Duniamu’ dengan pelaburan sehingga RM500,000 bagi membantu anak muda Malaysia mengembangkan minat mereka ke arah peluang kerjaya yang lebih mampan. Inisiatif itu menyediakan sokongan menyeluruh yang berlangsung selama enam bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan selepas pihaknya menyaksikan ketabahan dan keazaman anak muda Malaysia dalam mengejar aspirasi masing-masing.

“Melalui pembabitan kami bersama komuniti dan barisan petugas hadapan di seluruh Malaysia, kami berpeluang menyaksikan ketabahan dan keazaman mereka dalam membantu orang ramai mengatasi cabaran serta mencapai apa yang paling bermakna bagi mereka.

“Kisah perjalanan mereka mengingatkan kami bahawa aspirasi itu sentiasa ada, tetapi ia memerlukan akses kepada peluang yang boleh mendatangkan perubahan.

“Melalui ‘Projek Hidupkan Duniamu’, kami berharap dapat menyediakan anak muda Malaysia dengan keyakinan, sokongan dan peluang yang diperlukan untuk mengorak langkah signifikan ke arah masa depan mereka,” katanya semasa melancarkan program berkenaan di IOI City Mall, Putrajaya di sini.

Menurutnya, NESCAFÉ akan melaburkan RM500,000 dalam projek berkenaan bagi membantu golongan belia menerusi sokongan kewangan, bimbingan mentor dan platform untuk mereka berkongsi pengalaman serta kisah perjalanan.

Beliau berkata, inisiatif itu berteraskan falsafah global ‘NESCAFÉ Make Your World’ yang percaya setiap individu wajar diberi peluang untuk mengejar aspirasi yang memberi makna dan tujuan dalam kehidupan mereka.

“Kami percaya bahawa setiap cawan kopi yang baik mempunyai kuasa untuk mengecas semula, memberi inspirasi kepada hubungan dan menyemarakkan pelbagai kemungkinan kepada pengguna untuk menjadikan dunia mereka lebih bermakna.

“Saya amat berbangga memperkenalkan Projek Hidupkan Duniamu, sebuah inisiatif oleh NESCAFÉ untuk membantu belia Malaysia merealisasikan potensi dan menghidupkan impian mereka,” katanya.

Beliau berkata, program itu turut memberi ruang kepada golongan muda untuk mengejar aspirasi mereka dengan lebih yakin dan bersemangat.

“NESCAFÉ mahu memperkasa anda untuk menyerlahkan potensi diri, merealisasikan idea anda dan menjadikannya sesuatu yang bermakna. Tiada impian yang terlalu besar dan tiada idea yang terlalu kecil,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan, Kopi, Nestlé Malaysia, Norkhayati Mohamed Hashini berkata, ramai golongan muda di Malaysia mempunyai impian dan minat yang besar, malah ada yang sudah memulakan perniagaan baharu sebagai aktiviti sampingan.

“Di NESCAFÉ kami percaya ramai golongan muda ataupun belia di Malaysia yang mempunyai impian dan minat yang besar, malah ramai yang sudah mulakan first start up mereka sebagai aktiviti sampingan,” katanya.

Menurutnya, golongan muda berkenaan sering berdepan cabaran dalam mengimbangi kerjaya dan komitmen kewangan masing-masing.

“Jadi melalui Projek Hidupkan Duniamu, kami menawarkan sokongan yang menyeluruh kepada golongan belia ataupun golongan muda yang terpilih melalui bantuan kewangan, bimbingan mentor dan juga platform untuk mereka berkongsi pengalaman dan kisah perjalanan first start up kepada generasi muda lain,” katanya.

Beliau berkata, komitmen pelaburan sehingga RM500,000 itu diharap dapat membantu peserta memberi tumpuan kepada minat dan aspirasi masing-masing sambil membina laluan yang lebih mampan ke arah menjana pendapatan dan mencapai impian mereka.

Difahamkan, anak muda Malaysia yang ingin merealisasikan impian kerjaya mereka perlu menghantar video TikTok berdurasi 60 saat dengan menerangkan mengapa mereka layak menyertai program berkenaan.

Permohonan akan dibuka mulai 1 Oktober 2026 bersempena Bulan Kopi Antarabangsa, manakala maklumat lanjut mengenai proses permohonan, kriteria pemilihan dan sokongan kewangan akan dikongsikan menerusi saluran media sosial NESCAFÉ Malaysia serta siri jelajah NESCAFÉ yang akan datang.

Bagi meraikan kisah ini dan menyemarakkan semangat Hidupkan Duniamu, NESCAFÉ menganjurkan acara ‘Hidupkan Duniamu Bersama NESCAFÉ’ dari 8 hingga 13 September di Lower Ground East Court, IOI City Mall Putrajaya.

Pengunjung berpeluang berinteraksi dengan barisan petugas hadapan dan wakil komuniti yang memberi inspirasi, menyertai aktiviti interaktif serta meneroka rangkaian terbaharu NESCAFÉ termasuk NESCAFÉ Espresso Concentrate, NESCAFÉ Spanish Latte dan NESCAFÉ Tiramisu Latte, selain menyaksikan kemunculan rakan selebriti NESCAFÉ, Black Hanifah dan Yusof Hashim.

NESCAFÉ akan terus menyemarakkan semangat dalam kalangan komuniti di seluruh Malaysia menerusi siri jelajah ‘Hidupkan Duniamu Bersama NESCAFÉ’ yang akan datang, termasuk di Sunway Pyramid dan Queensbay Mall.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top