PRN N9: BN-PN sasar menang 25 kerusi DUN – Ahmad Maslan

PRN N9: BN-PN sasar menang 25 kerusi DUN – Ahmad Maslan

am@hmetro.com.my

Seremban: Persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memungkinkan 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata angka itu berdasarkan keyakinan terhadap kemampuan kedua-dua gabungan.

“Di Negeri Sembilan ini saya tidak nak meramal dari segi jumlah, tapi kemungkinan 25 kerusi milik BN-PN.

“Keyakinan saya ialah BN akan memerintah Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di Pusat Media Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, persefahaman BN dan PN adalah langkah strategik dan taktikal bagi memastikan undi Melayu tidak berpecah sehingga memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Berlaku PH mendahului sebelum ini kerana Melayu berpecah. Undi Melayu di kawasan Melayu berpecah, akibatnya PH yang menang.

“Oleh itu, BN mengambil rumusan dan langkah taktikal untuk memastikan undi Melayu tidak berpecah.

“Kami bertanding hanya di 25 (kerusi DUN) dan rakan PN 11 (kerusi DUN). Kalau kita berlaga di semua tempat, undi Melayu berpecah, PH yang menang,” katanya.

Mengulas manifesto PH yang dilancarkan, Ahmad berkata, manifesto BN kini dalam peringkat akhir penyediaan dan beliau yakin kandungannya lebih baik berbanding tawaran PH.

“Kita di peringkat akhir menyiapkan. Di Johor kita buat dulu, di sini mereka buat dulu.

“Siapa pun dulu, yang penting isi kandungan. Saya yakin isi kandungan manifesto BN akan lebih baik daripada manifesto PH,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang akan diberikan perhatian dalam manifesto BN ialah peluang pekerjaan, pendidikan, latihan kemahiran, perumahan, keharmonian antara kaum dan usaha mengembangkan syiar Islam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top