Arsenal dibadai keletihan Piala Dunia

Arsenal dibadai keletihan Piala Dunia

London: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berdepan cabaran besar selepas beberapa tonggak utamanya pulang dari Piala Dunia dalam keadaan keletihan dan dibelenggu kecederaan.

Kejohanan itu berakhir dengan pemain tengah Sepanyol, Mikel Merino lebam ketara di bawah mata selepas terkena rembatan deras Lionel Messi pada final yang dimenangi Sepanyol, 1-0 ke atas Argentina.

Merino berkongsi gambar dari bilik persalinan Sepanyol yang menunjukkan kecederaan itu, sambil meletakkan botol minuman pada bahagian mata yang bengkak.

Walaupun kecederaan itu tidak dianggap serius, ia tetap memberi kelegaan kepada pasukan perubatan Arsenal yang kini perlu menguruskan kepulangan semua pemain mereka dari kejohanan berkenaan.

Paling membimbangkan ialah keadaan Declan Rice yang mengharungi musim amat padat apabila beraksi selama 5,482 minit dalam 69 perlawanan bersama kelab dan England.

Rice dijangka memerlukan tempoh rehat panjang selepas menamatkan musim yang meletihkan.

Bukayo Saka pula masih bergelut dengan masalah tendon Achilles yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu, manakala William Saliba berkemungkinan memerlukan pembedahan selepas kecederaan belakangnya kembali berulang ketika Perancis tewas pada separuh akhir.

Arsenal menghantar 15 pemain ke Piala Dunia, termasuk Leandro Trossard yang kini sudah meninggalkan kelab, dengan lapan daripada mereka mara sehingga hujung minggu terakhir kejohanan.

Secara keseluruhan, pemain Arsenal mengumpul 4,224 minit aksi di Amerika Utara.

Jumlah itu hanya dibezakan oleh Manchester City dalam kalangan kelab Liga Perdana Inggeris, apabila pemain mereka mencatat 5,925 minit.

Situasi itu menyukarkan Arteta memandangkan Arsenal baru sahaja mengharungi musim yang menyaksikan mereka bermain sebanyak 63 perlawanan sebelum pemain terus menyertai kem latihan Piala Dunia hanya dua hari selepas musim berakhir pada 30 Mei.

Kini mereka hanya mempunyai kira-kira 30 hari sebelum musim baharu Liga Perdana Inggeris bermula.

Arsenal memasuki musim baharu selaku juara Liga Perdana Inggeris, namun tahap kecergasan Rice, Saka dan Saliba menjadi antara kebimbangan utama.

Kelab itu sudah menjangkakan ramai pemain akan mara jauh di Piala Dunia, justeru jadual pramusim diubah suai.

Arsenal mengadakan kem latihan ringkas di Marbella minggu lalu sebelum memulakan latihan rasmi pada Isnin.

Mereka turut menolak cadangan jelajah pramusim yang jauh dan memilih pendekatan lebih sederhana.

Pasukan itu akan menjalani kem latihan di Sepanyol sebelum menentang Girona pada 1 Ogos.

Empat hari kemudian, Arsenal akan bertemu Real Betis di Dublin sebelum kembali ke London untuk dua lagi aksi persahabatan di Stadium Emirates sebagai persiapan menghadapi Manchester City dalam perlawanan Perisai Komuniti di Cardiff pada 16 Ogos.

Arsenal turut melakukan rombakan terhadap jabatan perubatan mereka dalam usaha memperbaiki rekod kecederaan pasukan.

Doktor kelab, Zafar Iqbal, serta ketua sains sukan dan prestasi, Tom Allen, sudah meninggalkan kelab.

Jurulatih prestasi fizikal utama, Sam Wilson, turut berhijrah ke Parma.

Bagi mengisi kekosongan itu, Arsenal melantik Arnaldo Abrantes dari Aston Villa sebagai doktor baharu kelab, Eneko Angulo dari Real Betis sebagai pakar rehabilitasi serta jurulatih kecergasan Bayer Leverkusen, Jose Jimenez.

Mereka kini bertanggungjawab memastikan pemain seperti Ben White dan Jurrien Timber kembali mencapai tahap kecergasan terbaik secepat mungkin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top