PM Anwar kekal pendirian sekat warga Israel -“Saya tegas pertahan hak rakyat Malaysia”

PM Anwar kekal pendirian sekat warga Israel -“Saya tegas pertahan hak rakyat Malaysia”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian menyekat kemasukan rakyat Israel ke negara ini meskipun menerima bantahan daripada lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).

Malaysia negara merdeka & berdaulat

Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan, Malaysia ialah sebuah negara merdeka dan berdaulat yang mempunyai hak menentukan dasar sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

“Beberapa Ahli Parlimen Amerika telah membuat kenyataan menyelar saya kerana keputusan Malaysia menyekat kemasukan rakyat Israel ke dalam syarikat-syarikat dan sebagainya.
“Ia tidak menghalang… dia (Ahli Kongres AS) boleh membuat ugutan, tetapi saya akan tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat rakyat Malaysia untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warga Israel di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Malaysia yang mahu mengusir segera rakyat Israel berada di negara ini.

Mereka terdiri daripada Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.

Pendirian Malaysia kekal terhadap isu kemanusiaan

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan pendirian Malaysia adalah berasas terutama berkaitan isu kemanusiaan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Mana mungkin wakil rakyat negara mereka boleh memadam kenyataan mengenai pembunuhan anak-anak dan rakyat, wanita, kemusnahan rumah, menakluk negeri, dan tidak mampu bercakap apa-apa.
“Malaysia ini negara merdeka… kalau pun mereka yang bercakap itu tidak merdeka, tidak bebas menyuarakan, kita bebas menyuarakan,” katanya.

Beliau turut menyatakan isu tersebut tidak sepatutnya menjejaskan hubungan Malaysia dengan AS yang sudah lama terjalin.

AS memang sedia maklum dasar Malaysia ini sudah puluhan tahun. Jadi, saya tidak fikir ia patut menjejaskan.
“Kita masih menerima baik rakyat Amerika dan perniagaan, pelaburan serta perdagangan AS. Kita mengekalkan hubungan baik dengan AS sepertimana kita adakan dengan negara lain,” katanya.

Perkara tersebut dinyatakan beliau kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, hari ini.

Sumber: Berita Harian (Fareez Azman)

Scroll to Top