Ebola: Lebih 1,000 kematian direkodkan di Congo

Ebola: Lebih 1,000 kematian direkodkan di Congo

Kinshasa: Wabak Ebola yang diisytiharkan pada Mei lalu meragut lebih 1,000 nyawa di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada Rabu.

WHO memaklumkan, 2,473 kes virus itu, termasuk 999 kematian, disahkan di DRC, manakala Uganda merekodkan 20 kes termasuk dua kematian.

Wabak Ebola ke-17 di DRC diisytiharkan pada 15 Mei lalu selepas beberapa kematian dilaporkan di Ituri dan kekal tertumpu di wilayah timur laut yang kaya dengan sumber mineral serta dibelenggu kumpulan bersenjata.

Pengarah Program Kecemasan Doctors Without Borders (MSF) di Bunia, Trish Newport berkata, usaha mengawal wabak melalui pengesanan kontak memerlukan sumber yang amat besar berikutan kemiskinan dan keganasan di Ituri.

Katanya, sebahagian mangsa dikebumikan oleh keluarga tanpa langkah perlindungan sehingga mempercepatkan penularan jangkitan.

“Satu kematian boleh membawa kepada sehingga 17 kes penularan,” katanya.

Kes Ebola yang merebak melalui sentuhan rapat dan cecair badan yang dijangkiti turut dikesan di empat wilayah lain di DRC.

Dalam pada itu, kes di Uganda pula kebanyakannya membabitkan warga Congo yang menyeberangi sempadan dan negara itu memaklumkan sudah tiga minggu tidak merekodkan sebarang kes baharu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada minggu lalu memberi amaran, wabak itu sepanjang bulan lalu berkembang lebih pantas berbanding mana-mana wabak Ebola sebelum ini.

Sementara itu, Pengurus Insiden WHO bagi virus Bundibugyo di DRC, Thierno Balde berkata, walaupun tindak balas terhadap wabak itu dipertingkatkan, penularannya masih mendahului usaha pihak berkuasa untuk mengawalnya.

Katanya, ketika ini, masih tiada vaksin atau rawatan yang diluluskan bagi strain Bundibugyo yang menjadi punca wabak berkenaan.

Bagaimanapun, WHO melaporkan, perkembangan yang menggalakkan apabila ujian bagi dua rawatan berpotensi, satu vaksin dan satu profilaksis pasca pendedahan sedang dijalankan di lapangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top