New York: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan mahu mencalonkan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarbangsa (FIFA), Gianni Infantino sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu selepas berakhirnya Piala Dunia 2026.
Trump menyaksikan kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Argentina pada final Piala Dunia di Stadium MetLife, New Jersey bersama isterinya, Melania Trump.
Turut berada di tempat duduk kehormat ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, Infantino serta beberapa pegawai kanan FIFA.
Trump sendiri menyampaikan pingat kepada pemain dan pegawai Sepanyol serta Argentina sebelum menyerahkan trofi Piala Dunia kepada skuad juara.
Final itu satu-satunya perlawanan yang dihadiri Trump sepanjang kejohanan, namun beliau sebelum itu turut mencetuskan kontroversi apabila secara peribadi menghubungi Infantino bagi bertanyakan kemungkinan rayuan terhadap kad merah penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun pada pusingan 32 terbaik menentang Bosnia dan Herzegovina.
Menurut laporan, pegawai pentadbiran Trump turut membantu proses rayuan Persekutuan Bolasepak Amerika Syarikat (US Soccer), sebelum FIFA akhirnya menggantung hukuman Balogun selama setahun dan membenarkannya beraksi pada pusingan 16 terbaik menentang Belgium.
Namun, Amerika Syarikat tetap tersingkir selepas tewas 1-4 kepada Belgium.
Kes Balogun mengundang kritikan hebat terhadap Infantino, yang menafikan sebarang campur tangan politik dan menegaskan keputusan menggantung hukuman itu dibuat oleh jawatankuasa tatatertib FIFA yang bebas.
Presiden Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, dilaporkan memboikot final Piala Dunia kerana tidak berpuas hati dengan Infantino, manakala beberapa persatuan bola sepak Eropah dikatakan sedang berbincang untuk menampilkan pencabar pada pemilihan Presiden FIFA 2027.
Bagaimanapun, laporan media menyatakan lebih 200 daripada 211 ahli gabungan FIFA yang layak mengundi menyatakan sokongan kepada Infantino untuk memenangi penggal keempat.
Sekiranya jawatan Presiden FIFA bertukar tangan pada masa depan, Trump dilaporkan sudah mempunyai peranan baharu buat Infantino.
Menurut The New York Post, Trump mahu mencalonkan warga Switzerland itu sebagai Setiausaha Agung PBB yang seterusnya.
Trump dikatakan tidak mempunyai hubungan yang kukuh dengan PBB dan percaya pelantikan Infantino mampu mengukuhkan hubungan Amerika Syarikat dengan organisasi antarabangsa itu.
Penyandang jawatan ketika ini ialah bekas Perdana Menteri Portugal, António Guterres, yang mula memegang jawatan pada Januari 2017.
Jawatan itu dihadkan kepada maksimum dua penggal, bermakna Guterres tidak boleh bertanding semula tahun depan.
Dalam tempoh 50 tahun lalu, hanya bekas Setiausaha Agung PBB dari Mesir, Boutros Boutros-Ghali, gagal berkhidmat selama dua penggal penuh selepas pelantikannya semula pada 1996 disekat susulan kontroversi berkaitan Pertempuran Mogadishu di Somalia.
Sumber yang rapat dengan Trump memberitahu The New York Post bahawa Presiden Amerika Syarikat itu percaya Infantino “dihormati di seluruh dunia dan mempunyai keupayaan istimewa untuk menyatukan manusia.”
Infantino sebelum ini turut menganugerahkan Trump dengan Anugerah Keamanan FIFA yang pertama ketika majlis undian Piala Dunia tahun lalu.
Setiausaha Agung PBB menerima gaji asas sekitar AS$227,000 (RM927,000) setahun, namun jumlah itu hampir berganda selepas mengambil kira pelbagai elaun dan kemudahan.
Walaupun begitu, jumlah tersebut masih jauh lebih rendah berbanding pendapatan Infantino sebagai Presiden FIFA yang dilaporkan menerima gaji asas sekitar AS$2.6 juta (RM10.6 juta) setahun, tidak termasuk bonus.
Sekiranya dipilih semula sebagai Presiden FIFA seperti dijangka, Infantino akan terus memegang jawatan itu sekurang-kurangnya lima tahun lagi, namun prestij sebagai Setiausaha Agung PBB mungkin menjadi tarikan kepadanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




