lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 1,600 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 40 sekolah menengah di ibu negara menerima bimbingan akademik berfokus menerusi Program Tuisyen “Better SPM, Brighter Future” 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, program anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) itu bertujuan membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan percubaan dan SPM.
Katanya, TNB menyalurkan sumbangan sebanyak RM276,200 kepada YWP bagi melaksanakan program berkenaan yang diselaraskan bersama JPWPKL.
“Dengan adanya sumbangan daripada TNB ini, kita mahu memastikan pelajar memasuki dewan peperiksaan dengan persediaan yang lebih baik, sekali gus mengurangkan beban kewangan ibu bapa.
“Seramai 1,600 keluarga mendapat manfaat hasil sokongan sektor swasta seperti TNB,” katanya selepas merasmikan Program Tuisyen “Better SPM, Brighter Future” 2026 di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed dan Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Datuk Azmi Md Yusof.
Hannah berkata, peserta program dipilih oleh JPWPKL bersama pihak sekolah, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40.
Katanya, program itu dilaksanakan di sekolah masing-masing merangkumi kelas tambahan, seminar teknik menjawab soalan, program motivasi serta bimbingan akademik berfokus dan dijangka selesai pada hujung Ogos ini sebelum peperiksaan percubaan SPM bermula.
“Program ini memberi tumpuan kepada empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik.
“Pelajar bukan saja mengikuti kelas tambahan, malah turut didedahkan dengan teknik menjawab soalan yang dapat meningkatkan keyakinan mereka ketika berada di dalam dewan peperiksaan.
“Kita mahu memastikan pelajar yang mahu berusaha diberikan sokongan, bimbingan dan peluang secukupnya supaya mereka tidak tercicir hanya disebabkan kekangan di luar kawalan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




