Bekas guru ternak biri-biri, terapi ketenangan hadapi kanser

Bekas guru ternak biri-biri, terapi ketenangan hadapi kanser

am@hmetro.com.my

Jerantut: Bagi bekas guru ini, menternak biri-biri bukan sekadar hobi, sebaliknya menjadi terapi yang membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan selepas disahkan menghidap kanser payu dara.

Bagi Azlina Dollah, 66, yang tinggal di Kampung Seri Kool, rutin menguruskan ternakan setiap hari memberi ketenangan dan mengisi masa lapangnya selepas bersara daripada perkhidmatan perguruan.

Beliau yang pernah mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan juga lulusan Universiti Leeds berkata, minat menternak itu bermula pada 2021 selepas membeli tujuh ekor biri-biri dengan harga kira-kira RM5,000, sekadar untuk hobi.

“Daripada tujuh ekor, jumlah ternakan kini mencecah 12 ekor dan pernah meningkat sehingga 30 ekor pada satu ketika.

“Kawasan kediaman seluas kira-kira 0.8 hektar yang turut ditanam kelapa sawit terletak bersebelahan rumah saya, dimanfaatkan sebagai kawasan ternakan,” katanya.

Menurutnya, selain membeli dedak, beliau turut memanfaatkan daun kelapa sawit yang dipotong kecil sebagai makanan tambahan, manakala parit berhampiran menjadi sumber air untuk ternakan.

“Pada awal persaraan, saya hanya menguruskan kebun kelapa sawit, tetapi kemudian memilih untuk menternak biri-biri bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti yang lebih bermanfaat.

“Setiap hari saya memberi makan, menyediakan air dan memastikan keselamatan ternakan. Rutin ini memberikan kepuasan dan ketenangan kepada saya ketika menghadapi penyakit ini,” katanya.

Azlina yang juga seorang balu berkata, hubungan rapat dengan ternakannya turut menjadi sumber kegembiraan terutama ketika berdepan cabaran kesihatan.

“Setiap kali saya masuk ke kawasan berpagar, biri-biri ini akan berlari mendapatkan saya dan menggeselkan badan. Keadaan itu membuatkan saya berasa lebih tenang dan gembira.

“Sejak menyedari terdapat ketumbuhan pada 2020 sebelum menjalani pembedahan di sebuah hospital tahun lalu, aktiviti menternak banyak membantu menghilangkan kerisauan dan tekanan akibat penyakit yang saya alami,” katanya,

Beliau berkata, temu janji susulan di Institut Kanser Negara pada Ogos ini turut menjadi antara rutin rawatan yang perlu dilaluinya, namun aktiviti menternak banyak membantu mengurangkan tekanan serta memberinya semangat untuk meneruskan kehidupan.

Azlina berkata, beliau pernah memelihara kira-kira 500 ekor anak ayam, namun kesemuanya mati atau hilang selepas rumahnya ditenggelami banjir besar pada 2014.

“Dalam kejadian itu, saya turut mengalami kerugian apabila dua buah kereta ditenggelami air,” katanya.

“Ada juga penduduk sekitar yang datang bertanya untuk membeli biri-biri bagi tujuan korban atau akikah, tapi saya tidak menjualnya kerana menganggapnya sebagai terapi yang memberikan ketenangan jiwa, ” katanya.

Katanya sekali-sekala seekor biri-biri disembelih untuk hidangan keluarga apabila anak-anak dan cucu pulang bercuti di kampung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top